Lepas tinggalkan KDA FC, Lee Tuck fokus jadi ejen hartanah


  • Podium
  • Khamis, 14 Sep 2023

Lee Tuck mempunyai karier yang penuh warna sepanjang berkelana di benua Asia. — Facebook/Kedah Darul Aman FC

MASIHKAH anda ingat kepada Lee Tuck? Seorang pemain yang pernah mencipta nama dalam kancah bola sepak tempatan sejak 2017 apabila menyertai Negeri Sembilan FC.

Lee Tuck kemudiannya terus mencipta legasi dalam bola sepak tempatan dan ketika mewakili Terengganu FC, namanya mula menarik perhatian terutamanya di United Kingdom (UK).

Hal ini kerana, Lee Tuck pernah mencipta sensasi dengan digelar sebagai "pemain eksport United Kingdom paling berjaya yang tidak pernah didengar" oleh laman Dream Team di UK.

Karier Lee Tuck terus mekar di Malaysia hinggakan pemain itu layak untuk dinaturalisasikan serta telah mewakili Harimau Malaya untuk beberapa kali.

Kelab terakhir diwakili Lee Tuck di Malaysia adalah Kedah Darul Aman (KDA) FC. Akan tetapi, tidak sampai semusim, pemain itu telah menamatkan kontraknya dan pulang ke UK.

Pemergian pemain terbaik bulanan (POTM) Liga Super bulan Jun ini ke UK mencetuskan tanda tanya, adakah dia tidak lagi berminat untuk mewakili Harimau Malaya terutamanya Piala Asia 2023 semakin hampir.

Daripada apa yang dilihat, fokus Lee Tuck kini seakan sudah jauh daripada bola sepak. Sejak meninggalkan KDA dan pulang ke UK, pemain naturalisasi ini tidak mewakili mana-mana pasukan di sana.

Sebaliknya, fokus Lee Tuck kini terarah kepada penglibatan luar bola sepak dengan dia kini merupakan seorang ejen dalam bidang hartanah. Pemain itu turut mempunyai syarikat hartanah sendiri yang dikenali sebagai Unified Properties.

WhatsApp Image 2023-09-14 at 14.41.31

Unified Properties merupakan perusahaan oleh Lee Tuck dan isterinya di UK. — Instagram/@unifiedproperty

Diusahakan bersama-sama isterinya iaitu Georgia, perniagaan yang dikendalikan mereka adalah gabungan kepakaran dalam bidang pembinaan serta hartanah.

Sebelum menjadi pemain profesional, Lee Tuck terlibat dalam bidang pembinaan malah dia sendiri adalah pakar jubin bertauliah. Sementara Georgia merupakan pakar bidang hartanah terutamanya berkenaan sewaan.

Perusahaan suami isteri ini dilihat berjalan lancar dengan Lee Tuck sering berkongsi rumah-rumah yang disewakan oleh syarikatnya di media sosial miliknya.

WhatsApp Image 2023-09-14 at 14.41.31 (1)

Lee Tuck berkongsi hartanah yang disewakannya di media sosial. — Instagram/@lee__tuck

Nampak gayanya, walaupun belum mengumumkan sebarang persaraan daripada bola sepak, tetapi dapat dilihat Lee Tuck kini sudah mula menjauhkan diri dan menceburi bidang lain untuk mencari rezeki.

Dengan usia kini 35 tahun, adalah tipis untuk melihat pemain tengah ini kembali beraksi di padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram