Selangor, Sabah main peranan besar 'up' ranking HM sebelum kehadiran Kim Pan-gon


  • Podium
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Pan-gon pernah menewaskan Malaysia yang dikendalikan Nelo Viganda pada 2017 ketika mengemudi Hong Kong. — Agensi

SEJAK Kim Pan-gon dilantik menjadi ketua jurulatih Harimau Malaya, prestasi skuad kebangsaan boleh dikatakan berada di tahap yang terbaik sekali gus mampu bersaing dengan pasukan gergasi Asia seperti China dan Syria.

Pengendali berusia 54 tahun itu pernah mengendalikan skuad nasional Hong Kong serta beberapa kelab di Korea Selatan sebelum dilantik menjadi naib presiden Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA).

Pan-gon yang mengambil alih pasukan semasa berada di ranking ke-154 dunia itu berjaya membawa Harimau Malaya mendaki sehingga pada kedudukan 136 dunia ketika ini.

Antara keajaiban yang dilakukan Pan-gon ialah berjaya membawa skuad kebangsaan layak ke Piala Asia 2023 sekali gus menamatkan penantian selama 42 tahun penyokong-penyokong Harimau Malaya.

Kejayaan dibawa Pan-gon itu merupakan penyambung legasi pengendali-pengendali terdahulu yang pernah mencatatkan nama di dalam sejarah bola sepak negara.

Namun sejak era mendiang B.Sathianathan pada 2007 sehingga kini, hanya dua jurulatih yang mampu melonjak ranking kedudukan negara lebih tinggi.

Dengan posting yang dikongsikan oleh @malayantigerfans di Instagram, Majoriti senaraikan dua jurulatih pernah lonjak kedudukan ranking dunia Harimau Malaya sebelum kehadiran Pan-gon:

Kim Swee

Kim Swee kini mengendalikan pasukan Sabah.

1. Datuk Ong Kim Swee

Mempunyai sejarah jurulatih paling lama berkhidmat dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Ong Kim Swee pernah menjawat tiga jawatan bersama FAM iaitu ketua jurulatih Harimau Muda A, Skuad B23 dan pasukan utama.

Selain itu, pengendali berusia 52 tahun itu pernah dilantik menjadi pengarah teknikal FAM pada 2021 sebelum kembali ke dunia kejurulatihan bersama Sabah FC.

Kim Swee merekodkan pelbagai kejayaan manis bersama skuad B23 dengan menewaskan beberapa pasukan gergasi Asia seperti Korea Selatan dan Arab Saudi.

Ketika menjadi pengendali Harimau Malaya, Kim Swee berjaya merekodkan enam kemenangan, lima seri serta tujuh kekalahan dalam 18 perlawanan.

Bukan itu sahaja, Kim Swee berjaya membawa naik ranking skuad kebangsaan sebanyak 11 anak tangga daripada kedudukan 169 dunia sehingga 158 dunia sebelum Nelo Viganda mengambil alih Harimau Malaya pada 2017.

Cheng Hoe

Cheng Hoe dalam landasan terbaik untuk meralisasikan impian penyokong Selangor melihat pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas Asia.

2. Tan Cheng Hoe

Pelantikan Tan Cheng Hoe memberikan nafas baharu buat skuad kebangsaan selepas menjalani era kegelapan bersama Nelo Viganda.

Daripada ranking 158 dunia, Viganda menarik skuad kebangsaan di kedudukan 174 sekali gus mencatatkan rekod terburuk buat Harimau Malaya.

Cemerlang bersama Kedah, FAM tidak mengambil masa lama untuk melantik Cheng Hoe sebagai pengganti Viganda yang mana keputusan itu dilihat tepat apabila beliau memberi sinar harapan buat pasukan kebangsaan terus bangkit.

Ia selepas Cheng Hoe berjaya membawa naik ranking skuad kebangsaan sebanyak 20 anak tangga daripada kedudukan 174 dunia sehingga 154 dunia sebelum meletakkan jawatan pada 2021.

Sepanjang 36 perlawanan, Cheng Hoe berjaya merekodkan 19 kemenangan, tiga seri dan 14 kekalahan sejak dilantik pada 2017.

Cheng Hoe kini berada di landasan terbaik untuk meralisasikan impian penyokong Selangor melihat pasukan kesayangan mereka beraksi di pentas Asia musim depan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram