[VIDEO] JDT beri tawaran yang saya tak boleh tolak — Pablo Aimar


  • Podium
  • Jumaat, 15 Sep 2023

Bersama JDT, Aimar hanya tampil dalam lapan perlawanan dan sempat menjaringkan dua gol.

ANTARA pemain import bertaraf bintang pernah dibawa Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sepanjang bergelar pemilik Johor Darul Takzim (JDT), ialah Pablo Aimar.

Jaringannya ketika menentang Sri Pahang FC antara momen yang tidak akan dilupakan seluruh penyokong bola sepak Malaysia.

Legenda skuad kebangsaan Argentina itu bagaimanapun hanya beraksi sebanyak lapan perlawanan bersama JDT dan sempat menjaringkan dua gol ketika bertemu Pahang dan Lions XII pada 2014.

Selepas itu, Aimar terpaksa meninggalkan Harimau Selatan kerana dipercayai sukar untuk mengekalkan tahap kecergasan sekali gus hanya bertahan selama empat bulan sebelum dilepaskan pada April 2014.

Pablo Aimar

TMJ membawa Aimar menyertai JDT pada 2014.

TMJ juga pernah mendedahkan Aimar dan Jorge Pereyra Diaz antara pemain yang paling sukar dikendalikan sepanjang menjaga bola sepak Johor.

"Semenjak saya mengambil alih bola sepak, dua orang pemain import yang paling susah nak handle ialah Pablo Aimar dan Jorge Pereyra Diaz.

"Dia boleh datang 'training' hari ini salam dengan kita dan esok dia tak nak tengok muka kita. Bad mood," katanya.

Mengimbau semula detik permulaan Aimar menandatangani kontrak bersama JDT, menerusi laporan The Star bertarikh 15 September 2013, bekas pemain itu berkata, sukar untuk menolak tawaran JDT yang mahu membangunkan bakat pemain muda.

Aimar, yang sebelum itu beraksi untuk kelab terkemuka Eropah Valencia, Real Zaragoza dan Benfica, berkata, projek bola sepak yang ditawarkan Persatuan Bola Sepak Johor (JFA) terlalu sukar untuk ditolak.

Aimar telah bertemu TMJ awal tahun 2014 dan diberi taklimat mengenai rancangan JFA khususnya tentang program pembangunan belia.

"Saya mahu terlibat dengan bola sepak bukan sahaja di padang tetapi juga untuk memberi kembali kepada masyarakat, terutama kanak-kanak.

Ketika itu Aimar menerima tawaran untuk bermain di Timur Tengah, Australia, dan Amerika Syarikat tetapi memilih untuk bermain bersama JDT.

"Saya mempunyai kenangan indah bermain di negara ini terutamanya di Stadium Larkin semasa Piala Remaja Dunia FIFA 1997.

"Kemudian, saya membantu Argentina memenangi kejohanan itu,” jelasnya.

Aimar kini sedang menjawat jawatan sebagai penolong jurulatih skuad kebangsaan Argentina bersama Lionel Scaloni yang telah membantu negara kelahirannya menjuarai Piala Dunia 2022 selepas 36 tahun kempunan untuk mendakap trofi itu. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram