'Cari modal aksi timbal balik', Perak berpeluang peroleh bekalan selesa di Stadium Likas


  • Podium
  • Rabu, 13 Sep 2023

Skuad Perak bakal bertandang ke Stadium Likas bagi menghadapi pertemuan pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia menentang Sabah.

PUSINGAN suku akhir pertama Piala Malaysia bakal menyaksikan pertemuan antara pasukan Sabah FC dan Perak FC di Stadium Likas, Sabah pada Jumaat kelak.

Perak yang beraksi di tempat lawan dijangka berdepan tugasan getir untuk meraih kemenangan dengan sorakan gemuruh daripada penyokong tuan rumah, bakal menjadi salah satu senjata untuk menumbangkan The Bos Gaurus (TBG) pada perlawanan tersebut.

Dalam pada itu, tekanan beraksi di tempat lawan bagi pusingan pertama ini dilihat sebagai salah satu kesempatan yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya buat skuad Seladang.

Dengan kelebihan jaringan di tempat lawan menyaksikan Perak berpeluang untuk melakar kejutan sekiranya memperoleh sekurang-kurangnya satu ataupun dua gol di Stadium Likas.

Untuk rekod, Perak sebelum ini berjaya menyingkirkan pasukan pilihan, Kedah FC dalam pusingan 16 apabila keputusan agregat 4-3 memihak kepada skuad Seladang pada bulan lalu.

rakks

Perak melangkah ke pusingan suku akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Kedah.

Selain itu, perkhabaran terbaharu diterima dari kem latihan Sabah menyaksikan skuad The Rhinos akan beraksi tanpa kelibat empat tonggak utama iaitu Stuart Wilkin, Darren Lok, Daniel Ting dan Dominic Tan.

Situasi itu sekali gus memberikan peluang untuk Perak tampil dengan aksi memberangsangkan dan menghukum segala kelemahan yang ada pada skuad Sabah menjelang pertemuan itu nanti.

Rata-rata penyokong setia Perak menuntut agar pasukan tersebut tampil dengan persembahan konsisten menjelang pertemuan pusingan suku akhir kelak.

Dengan persembahan serta corak permainan meyakinkan dipamerkan sebelum ini, peminat meletakkan sandaran dan harapan tinggi untuk menyaksikan sekurang-kurangnya satu mata berjaya dicuri di Stadium Likas.

dominictan

Dominic Tan merupakan antara tonggak utama yang bakal terlepas aksi bersama skuad The Rhinos pada pusingan pertama suku akhir Piala Malaysia kelak. — Facebook/Sabah FC

"Main di Sabah dulu tak apa, yang penting dapat satu atau dua gol untuk cari modal aksi timbal balik, pertemuan di Ipoh kita balun habis-habisan depan penyokong sendiri," kata Mahathir Ab Rahman.

"Seri pun dah kira baik, asalkan main disiplin dan tak mudah hilang bola mesti boleh menang," ujar Ikmal Zikri.

"Balun habis depan penyokong lawan, biar dapat gol di Likas, datang Perak kita gegar kasi layak pusingan seterusnya di Piala Malaysia," jelas Ahmad Fakrul.

"Harap pemain Perak tunjukkan persembahan yang baik, empat tonggak Sabah tak ada jadi ini peluang terbaik untuk menang ataupun seri di tempat lawan," tambah Amir Shafiq.

Kemenangan bukan kewajipan di tempat lawan, namun bekalan selesa merupakan kepentingan buat anak-anak buah Yusri Che Lah bagi memastikan baki 90 minit perlawanan di Stadium Negeri Perak Darul Ridzuan kelak menjadi hak milik mutlak pasukan TBG.

Perlawanan pusingan kedua di Stadium Perak dijadual berlangsung pada 25 September dengan tumpuan pemerhati bola sepak kini terarah kepada aksi pertama di Stadium Likas pada Jumaat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram