SEORANG kanak-kanak maut manakala bapanya parah akibat dirempuh dua pemandu dipercayai warga Singapura yang didakwa berlumba haram di Jalan Sua Betong, Port Dickson, Negeri Sembilan pada Khamis.
Kejadian difahamkan berpunca akibat perlanggaran dengan kenderaan bernombor pendaftaran Singapura terbabit yang dikatakan memandu laju dan berbahaya di laluan berkenaan.
Kanak-kanak terbabit yang dikenali sebagai Muhammad Shaheizy Iman difahamkan sedang dalam perjalanan pulang dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Al-Hassan, Port Dickson.
Muhammad Shaheizy Iman dilaporkan maut akibat kemalangan di Jalan Sua Betong, Port Dickson. — Facebook
Namun, sebaik tiba di persimpangan lampu trafik, motosikal jenis Honda EX5 ditunggang bapanya dirempuh dari arah belakang sekali gus mengakibatkan kedua-duanya tercampak di laluan berkenaan.
Rakaman tular di laman media menyaksikan pemandu terbabit ditahan beberapa orang awam.
Sementara itu, bapanya, Muhammad Shazerein difahamkan mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban, Negeri Sembilan untuk rawatan lanjut.
Belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kemalangan itu setakat ini dengan orang ramai diminta untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung insiden berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram