'Program naturalisasi perlu dikekalkan, beri impak positif buat pemain lokal'


  • Podium
  • Isnin, 11 Sep 2023

Impak pemain naturalisasi bersama skuad kebangsaan sememangnya tidak boleh dipandang rendah. — Facebook/FAM

TAHUN 2023 boleh dianggap sebagai salah satu tempoh terbaik dalam sejarah bola sepak moden negara apabila mereka berada dalam prestasi terbaik.

Kekalahan ketika separuh akhir Piala AFF 2022 merupakan satu-satunya kekalahan dialami Harimau Malaya dalam sembilan perlawanan kompetetif diharungi mereka.

Prestasi cemerlang itu diteruskan dalam dua aksi persahabatan baru-baru ini apabila mereka berjaya mengikat dua gergasi Asia, Syria dan China.

Keputusan memberangsangkan berkenaan membolehkan kedudukan skuad kebangsaan semakin melonjak dalam ranking FIFA sebelum kempen Piala Asia 2023 dimulakan.

Penghargaan semestinya diberikan buat pengendali pasukan, Kim Pan-gon yang berjaya membawa satu aura baharu buat Harimau Malaya sejak dilantik awal tahun lalu.

Selain membawa perubahan terhadap gaya permainan, jurulatih kelahiran Korea Selatan itu juga berjaya melayakkan skuad kebangsaan ke Piala Asia buat kali pertama sejak 2007.

1667491

Kehadiran Pan-gon membawa perubahan ketara buat skuad Harimau Malaya. Facebook/PFAM

Bagaimanapun, di sebalik pencapaian bermakna itu, terdapat beberapa pandangan lain yang mengatakan kehadirannya sahaja belum cukup untuk membawa perubahan mendadak.

Ini kerana mereka berasakan peningkatan dari segi kualiti pemain merupakan salah satu kunci utama dalam mengubah hala tuju pasukan negara.

Antara yang berpandangan sedemikian ialah pengguna Twitter, Romy Jarr dengan mengatakan program naturalisasi yang diperkenalkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2019 ialah titik perubahan Harimau Malaya.

Kehadiran pemain yang diberikan status kewarganegaraan itu cukup didambakan ketika ini apabila Pan-gon sering meletakkan mereka dalam kesebelasan utama.

"Sejujurnya, negara perlu meneruskan dan mengekalkan program naturalisasi serta memberikan status itu kepada mana-mana pemain yang dipilih.

376839880_1008768000196436_2610642534906514730_n

Endrick merupakan salah satu pemain naturalisasi negara ketika ini. Facebook/FAM

"Itulah salah satu punca utama Harimau Malaya dapat mencatatkan prestasi memuaskan beberapa tahun kebelakangkan ini," tulisnya.

Menurutnya, kehadiran mereka bukan sahaja menaikkan kebolehan pasukan negara secara kasar kerana ia hanya akan membantu meningkatkan persembahan rakan sepasukannya.

Ketika ini, dua pemain naturalisasi yang sering diberikan peluang oleh Pan-gon ialah Paulo Josue dan Endrick dos Santos dengan Sergio Aguero juga kerap dipanggil.

Walaupun pendekatan sebegitu sering dipersoalkan penyokong tegar bola sepak tanah air, tidak boleh dinafikan bahawa ia membawa satu kelebihan tersendiri.

"Sesetengah pemain naturalisasi mungkin tidak mempunyai skil dan kebolehan tersendiri, tetapi mempunyai elemen yang tidak dapat dibangunkan program bola sepak negara.

"Ia adalah satu perkara semula jadi. Ia bukanlah satu masalah dalam dunia bola sepak, ia adalah isu berkaitan genetik dan latar belakang masing-masing," katanya.

masau_1674368676

Tidak semua penyokong bersetuju dengan program naturalisasi bola sepak negara. Facebook/FAM

Pandangan penyokong tersebut menerima respons baik daripada beberapa peminat yang lain dengan Julian Robert merupakan salah seorang daripadanya.

"Setuju, kita kena guna khidmat naturalisasi, kacukan dan pemain tempatan secara sekali gus untuk meletakkan tahap bola sepak kita di tahap lebih tinggi.

"Bila satu hari nanti kita dah capai tingkat yang ditetapkan dengan pemain lokal dapat mengatasi mereka, boleh dengan perlahan program itu ditamatkan," tulisnya.

Bagi Yus Rizal pula, pendekatan sebegitu dilihat cukup sesuai memandangkan program pembangunan bola sepak negara tidak dapat menyaingi pencabar lain di rantau Asia Tenggara.

"Malaysia tak boleh lagi kembali ke zaman guna pemain tempatan sahaja. Kita bukan seperti Vietnam atau Thailand. Program akar umbi kita tak sebaik mereka," tulisnya.

Selepas ini, pasukan negara bakal berentap dalam saingan Pestabola Merdeka dari 13 sehingga 17 Oktober dengan India merupakan lawan pertama mereka. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram