Lepas seri di laman sendiri, wartawan China 'claim' Dion Cools hampir jadi pemain skuad Tembok Besar


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Cools juga diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab sebagai ketua pasukan Harimau Malaya. — Facebook/FAM

SELEPAS tidak tersenarai dalam dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea pada Jun lalu, kehadiran semula ketua pasukan Harimau Malaya, Dion Cools ke kem latihan negara jelas memberikan impak tersendiri.

Pemain kacukan Belgium-Malaysia itu tidak dapat menyertai kem di Kuala Terengganu, Terengganu pada Jun lalu kerana melangsungkan perkahwinan dan terpaksa digugurkan daripada tugasan skuad kebangsaan.

Kemunculannya bersama Harimau Malaya mendapat pujian daripada penyokong kerana bek tengah itu menambah kualiit berbeza berikutan pengalamannya yang pernah beraksi di kelab Eropah sebelum ini.

Dalam dua aksi persahabatan di China itu, pemain berusia 27 tahun tersebut mendapat kepercayaan Kim Pan-gon untuk mengetuai pertahanan Harimau Malaya pada kedua-dua perlawanan.

Cools diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika bertemu Syria dan China dilihat menjaga benteng negara daripada menerima lebih banyak asakan barisan pemain lawan.

Bukan itu sahaja, pemain Buriram United tersebut juga dilihat membantu bahagian serangan bagi mendapatkan jaringan gol.

Selepas perlawanan mengagumkan dari bekas pemain kelab Republik Czech, FK Jablonec itu, seorang wartawan China mendakwa bahawa Cools hampir pasti menjadi sebahagian pasukan Tembok Besar itu.

WhatsApp Image 2023-09-10 at 13.20.54

Tangkap layar hantaran dari Twitter penyokong China itu.

Menerusi laman Twitter, China Sport Vision 2050 mendakwa bahawa Cools hampir ditandatangani kelab China, Jiangsu Suning FC sebagai pemain naturalisasi.

“Menurut seorang wartawan sukan di China, Dion-Johan Chai Cools, kapten Malaysia dalam keputusan seri 1-1 menentang China malam tadi (Sabtu), mempunyai warisan Cina menerusi ibunya yang merupakan Hakka-Malaysia. Pada 2019, dia sepatutnya ditandatangani oleh Jiangsu Suning sebagai naturalisasi,” tulis laman itu.

Pada 1 Jun 2021, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengumumkan bahawa Cools menjadi pemain terbaharu skuad Harimau Malaya dan selepas itu khidmatnya sentiasa ditagih dalam perlawanan demi perlawanan.

Selepas hampir dua tahun bersama Malaysia, Cools sudah melakukan 15 penampilan dan berjaya menjaringkan gol ketika aksi persahabatan menentang Singapura pada 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram