[VIDEO] Usaha 2 naturalisasi nyanyi Negaraku bukti 'dressing room' KPG berhasil, bakal jadi aset berbaloi negara


  • Podium
  • Ahad, 10 Sep 2023

Harimau Malaya selepas ini akan diuji pula dengan menentang India dalam aksi pembuka tirai Pestabola Merdeka pada 13 Oktober nanti. — Facebook/FAM

HARIMAU Malaya disifatkan mempamerkan aksi kelas dunia ketika mengikat dua pasukan yang berada pada kelompok 100 dunia iaitu seri 2-2 menentang Syria dan turut melakar keputusan sama menentang pasukan tuan rumah, China pada Sabtu.

Skuad bimbingan Kim Pan-gon itu nyaris merobohkan tembok besar China apabila mengikat pasukan ranking ke-80 dunia itu 1-1 dalam aksi persahabatan di Stadium Phoenix Hill, Chengdu sehingga penyokong tuan rumah meminta bayaran balik tiket kerana kecewa dengan keputusan tersebut.

Masing-masing penyokong mempunyai pendapat peribadi mengenai pemain terbaik perlawanan mereka namun bagi legenda jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah berpandangan bahawa dua bintang naturalisasi iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos layak menerima pujian menggunung.

endrick josue

Endrick dan Paulo sentiasa menjadi pilihan dalam kesebelasan utama sejak dipanggil menyarung jersi Harimau Malaya pada Mac lalu. — Facebook/FAM

Bagi bekas pengendali yang membawa Kedah memenangi kejuaraan 'double treble' itu, ketua pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo dan pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Endrick banyak menyumbang tenaga dalam dua perlawanan persahabatan terkini.

Dua tonggak kelahiran Brazil itu boleh dianggap sebagai projek naturalisasi negara yang berbaloi jika dibandingkan dengan beberapa pemain lain seperti Guilherme de Paula, Mohamadou Sumareh dan juga Liridon Krasniqi.

"Jika kita tengok banyak pemain naturalisasi negara tapi Endrick dan Paulo memang mencapai piawaian yang kita nak. Sumbangan mereka memang banyak. Mereka dua ini team player dan mempunyai semangat berpasukan tinggi," katanya kepada Majoriti.

Selain daripada kemahiran yang ada pada dua pemain tengah tersebut, bekas pengendali yang berusia 70 tahun itu juga memuji usaha mereka untuk menyanyikan lagu kebangsaan Malaysia, Negaraku sebelum sepak mula menentang China bermula.

Menurut Azraai Khor, suasana yang menyaksikan hampir semua pemain menyanyikan lagu Negaraku adalah usaha dari Pan-gon kerana menerapkan semangat patriotik dalam diri setiap tonggak skuad kebangsaan termasuklah bintang naturalisasi.

"Lebih mengagumkan saya apabila tengok mereka berdua menyanyi lagu Negaraku. Kebanyakan dah nyanyi lagu kebangsaan. Sebab itu Pan-gon dianggap sudah buat kerja yang sangat baik apabila berhasil menerapkan semangat cintakan negara dalam pemain.

"Selalu pemain import senyap ketika lagu Negaraku. Ini menunjukkan dressing room yang dicipta Pan-gon memang menjadi, pemain tambah improve dari segi sikap dengan selalu buat comeback dan tak mudah kalah. Ini yang kita nak tengok," tambahnya.

Dalam video sebelum sepak mula itu, Pan-gon juga dilihat menyanyi lagu Negaraku dengan penuh semangat dan tindakannya itu mendapat pujian penyokong bola sepak tempatan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram