SELEPAS kira-kira seminggu berada di bumi China, dua perlawanan Harimau Malaya akhirnya selesai dengan kedua-dua aksi itu berakhir keputusan seri dan sekali gus memberi Malaysia sebanyak 3.328 mata.
Aksi pertama menentang Syria, Malaysia bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk mengikat pasukan 94 terbaik dunia, 2-2 dengan jaringan dicetak oleh pemain gantian iaitu Akhyar Rashid dan Darren Lok.
Manakala, ketika aksi menentang pasukan tuan rumah, China, skuad kendalian Kim Pan-gon mendapat keputusan seri 1-1 pula dan jaringan Harimau Malaya pula dicetak oleh penyerang sayap kebangsaan, Faisal Halim.
Walaupun kedua-dua perlawanan persahabatan itu tidak melakar sebarang kemenangan namun ia masih dianggap menjadi antara aksi terbaik Harimau Malaya berikutan mampu mengikat dua pasukan yang berada pada kelompok 100 terbaik dunia.
Dalam perlawanan berkenaan, walaupun seramai 26 pemain dipanggil ke kem latihan namun tidak dapat dinafikan ada beberapa pemain yang sekadar memanaskan bangku simpanan dalam dua aksi persahabatan itu.
Beberapa pemain yang tidak mendapat peluang untuk diturunkan pada aksi di Chengdu itu adalah sebahagian daripada tonggak skuad kebangsaan ketika beraki bagi saingan Piala AFF 2022.
Oleh itu, selepas melihat pada prestasi dalam dua aksi itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain skuad kebangsaan pada Piala AFF berkemungkinan digugur dari Piala Asia.
1) Sergio Aguero
Aguero diturunkan ketika aksi menentang Syria pada Rabu lalu. — Facebook/FAM
Pemain naturalisasi, Sergio Aguero membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya ketika perlawanan persahabatan menentang Kemboja dan Maldives pada Disember 2022 sebelum kempen Piala AFF bermula.
Selepas aksi tersebut, pemain berusia 29 tahun berkenaan menarik minat Pan-gon untuk meletakkannya dalam senarai pemain dan kepercayaan tersebut dibalas dengan dua jaringan gol pada kempen yang menyaksikan perjalanan Malaysia terhenti di peringkat suku akhir.
Setelah tujuh bulan tidak mendapat panggilan skuad kebangsaan, nama Aguero dipanggil semula menyarung jersi Harimau Malaya untuk dibawa terbang ke China namun khidmatnya hanya digunakan pada aksi menentang Syria.
Tidak dapat dinafikan pemain Sri Pahang itu mempunyai kualiti sebagai seorang pemain tengah namun dengan persaingan dari beberapa tonggak lain seperti Paulo Josue, Brendan Gan, Endrick dos Santos dan Stuart Wilkin menyukarkannya untuk dikekalkan sehingga ke Piala Asia nanti.
2) Kalamullah Al-Hafiz
Kalamullah masih tidak dapat merebut posisi dengan Syihan. — Facebook/FAM
Kalamullah Al-Hafiz boleh dikatakan antara penjaga gol tanah air yang sering diberi peluang untuk tugasan negara walaupun hakikatnya ada sebahagian tidak bersetuju jika namanya berada dalam senarai Harimau Malaya.
Keputusan Pan-gon memanggil semula Kalamullah selepas disisihkan pada perlawanan menentang Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea membuatkan ramai penyokong mempersoalkannya kerana beberapa kesilapannya bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC bagi saingan domestik.
Malah, sepanjang berada dipanggil ke kem latihan negara, penjaga gawang berusua 28 tahun itu juga masih tidak dapat memberi saingan kepada penjaga gol Johor Darul Takzim (JDT), Syihan Hazmi.
Sejak mendapat panggilan pertama pada aksi persahabatan musim 2021, bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City itu hanya mendapat peluang ketika perlawanan menentang Kemboja pada 9 Disember 2022.
3) Quentin Cheng
Quentin perlu bersaing dengan pemain lain seperti Matt Davies di posisi bek kanan. — Facebook/FAM
Pemain kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng tampil kali pertama bersama skuad Harimau Malaysia pada aksi persahabatan antarabangsa menentang Jordan di Amman pada 6 Oktober 2021 yang menyaksikan skuad kebangsaan tewas 0-4 di tangan pasukan tuan rumah.
Sejak itu, pemain yang beraksi di posisi bek kanan tersebut mendapat peluang dalam beberapa aksi persahabatan dan juga antara pertahanan yang dipilih untuk beraksi dalam kempen Piala AFF.
Walaupun pada kali ini pemain berusia 23 tahun itu dipanggil oleh pengendali dari Korea Selatan itu namun pemain Selangor FC tersebut hanya sekadar memanaskan bangku simpanan untuk kedua-dua perlawanan tersebut.
Malah, posisi bek kanan kini banyak disandarkan kepada tonggak Harimau Selatan, Matthew Davies dan Syahmi Safari turut mendapat peluang ketika perlawanan menentang China pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram