KEPUTUSAN seri mengikat dua pasukan yang berada pada ranking dunia iaitu Syria dan China dalam dua aksi persahabatan pada September memberi 1,001 harapan untuk Harimau Malaya pada saingan Piala Asia 2024 di Qatar.
Pada Rabu lalu, jaringan dari pemain gantian, Akhyar Rashid dan Darren Lok pada babak kedua perlawanan menyelamatkan Malaysia daripada ditolak mata ranking oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Momentum tersebut dibawa oleh Kim Pan-gon untuk mengikat pasukan berada di ranking ke-80 dunia, China dalam aksi persahabatan kedua apabila jaringan dari Faisal Halim sudah cukup untuk mengikat skuad Tembok Besar itu sehingga penghujung masa terakhir.
Meskipun tidak mencatat sebarang kemenangan namun ekor Harimau Malaya memuji semua pemain yang diturunkan dalam dua aksi itu kerana memberikan prestasi terbaik untuk tanah air termasuklah dua bintang naturalisasi baharu iaitu Paulo Josue dan Endrick dos Santos.
Walaupun kedua-duanya baru sahaja menjadi sebahagian daripada projek naturalisasi negara namun sentiasa memberi aksi bertenaga dan membuktikan bahawa mereka sememangya bermain demi lencana di dada.
Endrick ketika aksi menentang China pada Sabtu. — Facebook/FAM
Perkara tersebut juga dipersetuji oleh legenda jurulatih Kedah, Azraai Khor Abdullah yang memuji aksi ketua pasukan Kuala Lumpur (KL) City FC, Paulo dan pemain tengah Johor Darul Takzim (JDT), Endrick.
Untuk rekod, Paulo dan Endrick kali pertama di panggil ke kem latihan semasa menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 bertemu Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lalu di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.
“Dua pemain naturalisasi yang banyak menyumbang tenaga dalam dua perlawanan persahabatan terkini. Endrick dari JDT dan Paulo Josue dari KL City FC,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook peribadinya.
Dalam dua perlawanan menentang Syria dan China, Pan-gon meletakkan Paulo dan Endrick dalam senarai kesebelasan utama dan kedua-duanya memberikan impak positif untuk menggerakkan bahagian tengah Harimau Malaya.
Selepas ini, kekuatan Harimau Malaya akan diuji pula dengan menentang pasukan ke-99 dunia, India dalam aksi pembuka tirai Pestabola Merdeka pada 13 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram