
JIKA ditanya rata-rata penyokong Sri Pahang FC hari ini, mereka pastinya akan meletakkan nama pemain kelahiran Gambia, Mohamadou Sumareh sebagai antara import terbaik pernah dimiliki pasukan berkenaan.
Selepas tiba dari Perlis FA pada 2017, penyerang sayap berkenaan tidak perlu menunggu lama untuk menunjukkan kebolehannya untuk membantu jentera serangan Tok Gajah.
Kehadirannya turut menghadiahkan trofi Piala FA buat pasukan Pantai Timur tersebut pada 2018 dengan dia diletakkan dalam kesebelasan utama ketika perlawanan akhir menentang Selangor FC.
Hubungannya juga bertambah baik dengan penyokong bola sepak tempatan apabila dia menjadi pemain import pertama diberikan status naturalisasi selepas memenuhi syarat ditetapkan.
Sumareh mencipta kejutan apabila menyertai Police Tero. — Facebook/Police Tero FC
Bagaimanapun, harapan untuk menyaksikan Sumareh menghabiskan masa dengan lebih lama bersama Pahang FA tidak berkekalan setelah timbulnya isu kontrak antaranya dengan kelab berkenaan.
Kemelut berkenaan dikatakan berpunca daripada isu gaji yang melanda pasukan itu pada 2020, namun tiada bukti kukuh untuk ditunjukkan kepada orang ramai.
Ia bagaimanapun menemui kemuncaknya pada 7 September 2020 dengan pemain berkenaan dilaporkan sudah menamatkan kontraknya dengan Pahang FA sebelum menyertai kelab Thailand, Police Tero FC.
Perkara berkenaan menimbulkan konflik antara Sumareh dengan Pahang FA yang mengatakan pemain berkenaan bertindak secara tidak profesional.
Situasi tersebut mendesak pasukan itu untuk meminta bantuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya menyelesaikan hal berkenaan memandangkan isu terbabit turut diketahui FIFA.
Sumareh kini masih kekal bersama skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Ia berikutan laporan Sumareh yang mengatakan pasukan Liga Super itu tidak membayar gaji sehingga $5000 (RM23,300) dengan perkara tersebut dinafikan serta merta.
Bagaimanapun, dengan pemain yang kini berusia 28 tahun tersebut sudah mengikat kontrak bersama Police Tero, Pahang FA tidak mempunyai sebarang pilihan untuk mendapatkan semula khidmatnya.
Namun, tempohnya bersama pasukan Thailand berkenaan tidak berkekalan apabila dia hanya bertahan di sana untuk enam bulan sebelum menyertai Johor Darul Takzim (JDT) pada Februari 2021.
Bagi Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP) pula, mereka bertindak mengenakan sekatan terhadap Sumareh atas empat kesalahan yang dilakukannya semasa berhijrah ke Thailand. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram