BERMAIN di gelanggang sendiri ternyata memberi kelebihan kepada Sabah FC apabila mereka berjaya menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1 dalam aksi Liga Super pada Sabtu.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu, jelas kelihatan penyerang import kelahiran Brazil, Ramon Machado de Macedo tidak menunggu lama untuk merobek pintu gawang skuad Jang pada minit ke-13.
Selang beberapa minit kemudian, Ramon sekali lagi menambah jaringan kedua untuk skuad The Rhinos.
Tidak cukup dengan itu, pemain sayap kanan, Miguel Cifuentes atau lebih mesra dipanggil Cifu menambah satu lagi jaringan menerusi tandukan kencang seterusnya merobekkan gawang NSFC pada masa tambahan separuh masa pertama.
Gol ketiga itu sekali gus meletakkan pasukan tersebut dalam keadaan yang agak selesa pada separuh masa pertama.
Harapan peminat Sabah yang menanti-nantikan kehadiran Cifu di atas padang akhirnya berbaloi dengan jaringan tersebut.
Cifu sebelum ini terpaksa disisihkan selepas mengalami kecederaan hingga dia tidak dapat diturunkan sekitar sebulan.
Sabah FC berjaya menewaskan NSFC dalam aksi Liga Super pada Sabtu. — Facebook/MFL
Memasuki babak kedua skuad Sang Badak terus mempamerkan aksi yang agresif untuk memburu lebih banyak gol.
Namun berlaku 'drama' dalam aksi perlawanan tersebut apabila pengadil didakwa bersikap berat sebelah dan lebih memihak pasukan lawan.
Bermula dengan kekasaran melibatkan kedua-dua pasukan pada minit ke-67 permainan sehingga menyebabkan pengadil melayangkan kad kuning kepada Gabriel Perez.
Keputusan Datuk Ong Kim Swee menukar penjaga gawang, Khairul Fahmi Che Mat kepada Mohammad Ramzi Mustakim juga membawa padah buat pasukan itu apabila pemain NSFC, Hein Htet Aung berjaya menjaringkan gol pada minit-minit akhir separuh masa kedua.
Melihat kepada aksi perlawanan tersebut, ada beberapa perkara yang menjadi bualan hangat penyokong kedua-dua pasukan.
Cifu sebelum ini terpaksa disisihkan selepas mengalami kecederaan hingga dia tidak dapat diturunkan sekitar sebulan. — Facebook/Sabah Football Club
Antaranya ialah sikap pengadil yang dianggap berat sebelah oleh penyokong Negeri Di Bawah Bayu itu.
Seorang penyokong, Austin Philip meluahkankan kekecewaannya dan menganggap pengadil perlawanan tersebut gagal mengawal situasi dengan baik sehingga bersikap tidak adil terhadap pemain Sabah.
"Sangat tidak adil, sudah beberapa kali pemain Sabah dikasari dalam tapak penalti. Pengadil buat nampak tak nampak saja.
"Apa sudah jadi Liga Malaysia, tidak perlu ada pengadil sebegini," katanya.
Seorang lagi penyokong, Verond Victorinus turut meluahkan perasaan yang sama.
"Kesian pemain, diperlagakan oleh pengadil. Kita ada banyak peluang untuk dapatkan penalti.
"Boleh nampak pemain tertekan dengan pengadil seperti ini. Radu tatap radu Sabah ku, " tulisnya.
Sementara itu, Nadine pula meluahkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Kim Swee yang membawa masuk penjaga gawang Mohammad Ramzi Mustakim pada minit akhir permainan.
"Apa yang Datuk OKS fikir? Geram juga dengan keputusan dia tukar Apek dengan Mustakim.
"Kecewa, sangat kecewa dengan keputusan ini walaupun kita menang," luahnya.
"Aduh, keeper (penjaga gol) baru masuk terus bolos. Memalukan sahaja," kata Krisztellica Amat.
Kemenangan itu memastikan Sabah kekal di tempat keempat Liga Super dengan 42 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram