Waspada kebangkitan Perak, fans Sabah seru jangan leka di Likas


  • Podium
  • Ahad, 20 Ogos 2023

Sekitar aksi pertembungan antara pemain Sang Badak menentang Kuching City FC dalam aksi Piala Malaysia pada Sabtu. — Facebook/MFL

PASUKAN Sabah FC menepati ramalan layak ke suku akhir Piala Malaysia apabila menang agregat 4-1 ke atas Kuching City FC meskipun seri 1-1 ketika aksi timbal balik pusingan 16 yang berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada Sabtu.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Likas itu, pemain pertahanan kanan, Rizal Ghazali membuka tirai jaringan pada minit ke-27 sekali gus memisahkan jurang agregat 4-0.

Walaupun pasukan tuan rumah mendahului perlawanan dengan 1-0, namun pada babak kedua, Rames Lai Ban Huat berjaya mencetak satu gol sagu hati sekali gus menyamakan kedudukan pada minit ke-57.

Bagaimanapun, prestasi yang ditampilkan oleh anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee itu amat membimbangkan penyokong Sang Badak kerana dijadualkan berdepan dengan Perak FC pada pusingan suku akhir nanti.

ezgif.com-webp-to-jpg (27)

Sebahagian aksi menarik antara pemain skuad Seladang dan Sang Kenari. — Facebook/perakfc

Kerisauan itu sememangnya berasas memandangkan saingan di peringkat suku akhir pastinya bakal menjanjikan cabaran lebih sengit daripada pihak lawan.

Baru-baru ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan kebangkitan Perak FC apabila menyingkirkan Kedah Darul Aman (KDA) FC di peringkat pertama selepas menumpaskan Sang Kenari dengan agregat 4-3 dalam aksi Piala Malaysia.

Tidak mustahil skuad kendalian Yusri Che Lah sekali lagi mampu membuat kejutan yang sama ke atas skuad Sang Badak.

Oleh itu, rata-rata penyokong berharap agar barisan pemain The Rhinos waspada dengan kebangkitan Perak FC yang dilihat semakin mengganas dalam aksi Piala Malaysia.

"Sabah FC kena ambil peluang menjaring sebanyak mana yang boleh pada first game di Likas sebelum bertandang ke Perak, sudah pasti Perak akan beri tentangan sengit, kalau tak menang di Likas, seri pun sudah memadai sebagai bekal untuk pertemuan aksi timbal balik," kata Jangkar Gagah.

"First game di tempat sendiri, ada kelebihan sikit untuk dapatkan banyak jaringan. Nanti main away, takut susah tembus pertahanan Perak pula," kata Jamal Bahar.

"Perak FC dalam kejurulatihan Yusri Che Lah antara kelab bola sepak yang mengamalkan hantaran bola pendek. Sabah perlu peka untuk menghalang hantaran bola pendek berkenaan bermula dari tengah padang untuk mencipta jaringan di Likas dan kemenangan," kata Gerbang Perpaduan.

Sabah FC akan melayan kunjungan Perak FC dalam saingan peringkat suku akhir Piala Malaysia 2023 dengan perlawanan pertama bakal berlangsung pada 15 September depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram