Piala AFC: Kim Swee jadikan JDT inspirasi, KL City simbol kepercayaan


  • Podium
  • Khamis, 24 Ogos 2023

Kim Swee berharap anak buahnya dapat menyesuaikan diri bagi mengharungi cabaran Piala AFC.— Facebook/SabahFC

PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee berpuas hati dengan keputusan undian Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023/2024, yang berlangsung pada Khamis.

Kim Swee berkata, skuad Sang Badak yang diundi dalam Kumpulan H mendapat undian lebih baik, berbanding dengan dua lagi kumpulan dalam saingan Zon Asean, apabila terlepas diundi bersama kelab dari Australia.

Bagaimanapun, jurulatih berusia 52 tahun itu berkata, Sabah tidak boleh terlalu berasa selesa, selain berharap anak buahnya dapat menyesuaikan diri bagi mengharungi cabaran berbeza, apabila buat julung kali pasukan itu beraksi di pentas Piala AFC.

"Kalau banding dengan lagi dua kumpulan, sudah tentu kami berada dalam kumpulan lebih baik terutama kita berjaya elak kelab dari Australia, dan saya percaya kejohanan peringkat Asia berbeza dengan saingan liga, kita tak boleh berasa begitu selesa.

"Ini (keputusan undian) mungkin akan memakan diri di mana bagi saya di peringkat Asia, perlawanan di tempat lawan akan memberi cabaran cukup besar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Piala AFC 2023/2024 di AFC House di Bukit Jalil di Kuala Lumpur pada Khamis.

sabah dalam

Sabah diundi bersama Hai Phong, Hougang United dan PSM Makassar. — Facebook/SabahFC

Mengulas mengenai sasaran pasukan, bekas Ketua Jurulatih skuad Harimau Malaya itu berkata, tiada sebarang sasaran diletakkan setakat ini, namun berhasrat untuk melangkah ke pusingan kalah mati.

Malah, Kim Swee mahu Sabah mencontohi Johor Darul Takzim (JDT) dan Kuala Lumpur City FC, selepas masing-masing pernah muncul juara dan naib juara Piala AFC.

"Kami ingin menjadikan JDT sebagai inspirasi, muncul juara dan jadikan KL City FC sebagai satu (simbol) kepercayaan untuk pemain di mana pasukan KL City pun boleh layak ke final,” katanya.

Sabah FC akan berentap bersama Haiphong FC dari Vietnam, wakil Singapura Hougang United dan kelab Indonesia PSM Makassar dalam saingan kumpulan H, untuk merebut tempat ke pusingan kalah mati.

Dalam pada itu, satu lagi wakil Malaysia, Terengganu FC yang muncul naib juara Liga Super musim lepas diundi dalam Kumpulan G bersama wakil Indonesia Bali United, Stallion Laguna dari Filipina dan kelab Australia Central Coast Mariners. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram