TIDAK boleh dinafikan bahawa Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan salah sebuah pasukan terbaik dalam Liga Super memandangkan mereka sering mencapai kejayaan beberapa tahun kebelakangan ini.
Pencapaian membanggakan ketika Piala FA pada 2019 serta Piala Sumbangsih pada 2017 merupakan antara contoh terbaik untuk menceritakan mengenai keunggulan skuad Sang Kenari.
Selain itu, kelab Utara tanah air itu turut mempamerkan aksi memberangsangkan setiap kali melayakkan diri ke pentas Asia dengan pasukan berkenaan mencapai peringkat separuh akhir Zon Asean Piala AFC 2022.
Kejayaan tersebut boleh dikatakan berpunca daripada lambakan pemain berkualiti yang cemerlang memikul tanggungjawab dalam posisi masing-masing.
Liridon, Rizal dan Baddrol merupakan nama yang cukup sinonim dengan skuad Sang Kenari.
Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali dan Khairul Helmi Johari merupakan antara tonggak utama kelab berkenaan dengan nama mereka pastinya sukar dilupakan penyokong Hijau Kuning.
Di samping itu, KDA FC turut bernasib baik dalam usaha mereka mendapatkan pemain import memandangkan sumbangan mereka terus dirindui bertahun-tahun selepas pemergian mereka.
Nama-nama seperti Liridon Krasniqi dan Mahmoud al-Mardi adalah sebilangan contoh yang boleh disenaraikan apabila kehadiran kedua-dua pemain itu sukar dicari galang-ganti.
Bagaimanapun, terdapat beberapa pemain dalam lipatan sejarah bola sepak Kedah yang seperti sudah dilupakan mengenai kelibat mereka bersama skuad Sang Kenari.
Selain jarang diberikan minit permainan, mereka kurang mendapat perhatian memandangkan sumbangan mereka bersama KDA FC tidak memberi satu perbezaan signifikan buat kelab.
Melihat kepada beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat tiga pemain yang mula dilupakan kehadiran masing-masing bersama skuad Sang Kenari meskipun dalam kalangan penyokong Hijau Kuning.
1. David Rowley (Sri Pahang FC)
Musim ini, Sri Pahang berada dalam prestasi terbaik sekiranya hendak dibandingkan dengan beberapa tahun kebelakangan ini apabila pasukan itu berada di tangga kelima Liga Super.
Kehadiran pemain-pemain berkualiti dalam kesebelasan utama merupakan antara sebab utama skuad Tok Gajah mampu beraksi secara konsisten dalam kesemua pertandingan yang disertai.
Bagaimanapun, di sebalik lambakan pemain yang diturunkan sepanjang musim, David Rowley seperti tidak bernasib baik memandangkan dia lebih kerap diletakkan di bangku simpanan.
Dalam 13 penampilannya dalam Liga Super, jeneral di bahagian tengah berkenaan hanya diletakkan dalam kesebelasan utama sebanyak empat kali.
David Rowley hanya meluangkan masa semusim di KDA FC. — Facebook/Kedah FA
Kesukaran untuk mendapatkan minit permainan itu sedikit sebanyak memberi impaknya untuk mencetak lebih banyak gol apabila pemain terbabit hanya memperoleh satu jaringan peribadi dalam liga.
Pulangan berkenaan pastinya memberi kesan terhadap pandangan penyokong Sri Pahang FC terhadap Rowley memandangkan dia pernah mencipta nama ketika beraksi di Penang FC.
Namun, ia bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan pemain berusia 33 tahun itu pernah berdepan situasi sama ketika meluangkan masa kira-kira dua tahun bersama skuad Sang Kenari.
Dia yang tiba pada pertengahan musim 2019 dianggap sebagai satu kehadiran cukup menarik dengan statusnya sebagai seorang pemain berdarah kacukan Malaysia-Australia.
Tetapi, harapan terbabit tidak kesampaian memandangkan ketua jurulatih ketika itu, Aidil Sharin Sahak kurang memberikan kepercayaan buatnya untuk tampil dengan lebih yakin.
Jadi, tidak hairanlah apabila sebilangan penyokong Hijau Kuning pastinya melupakan mengenai kehadiran Rowley di kelab Utara tanah air meskipun meluangkan masa melebihi semusim.
2. Azri Ghani
Antara posisi yang sering diberikan perhatian pihak pengurusan KDA FC setiap kali jendela perpindahan ialah penjaga gol dalam usaha mereka untuk memperkukuhkan lagi benteng pertahanan pasukan.
Meskipun memiliki Ifwat Akmal Chek Kassim sebagai pilihan utama, mereka masih memberi tumpuan terhadap usaha itu bagi memastikan anak jati Kedah itu tidak berada dalam zon selesa.
Ketika jendela perpindahan awal musim lalu, kelab Utara tanah air itu memilih untuk mendapatkan dua penjaga gol baharu, Kalamullah al-Hafiz dan Fikri Che Soh.
Keputusan tersebut sedikit sebanyak memberi satu prestasi cemerlang buat KDA FC dari segi pertahanan dengan Kalamullah berada dalam skuad utama sementara Fikri diletakkan dalam pasukan simpanan.
Azri Ghani masih terlalu muda ketika menyertai skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA
Namun, tahukah anda bahawa pasukan terbabit pernah membawa masuk seorang penjaga gol yang ketika itu dikatakan mempunyai potensi cukup baik selepas bersinar di peringkat belia.
Penjaga gol Kuala Lumpur (KL) City FC, Azri Ghani menyertai KDA FC pada Januari 2020 selepas majikannya sebelum itu, Felda United berada dalam ketidaktentuan.
Dia yang ketika itu baru sahaja berusia 21 tahun memilih untuk bergandingan bersama skuad Sang Kenari meskipun kelab berkenaan sudah memiliki Ifwat Akmal dan Shahril Saa'ri.
Tetapi, ia masih menjadi satu lonjakan dalam karier anak jati Kota Bharu, Kelantan itu apabila dia masih berpeluang mencatatkan tiga penampilan Liga Super.
Namun, dengan dia masih mengharapkan minit permainan lebih kerap, Azri kemudiannya memilih untuk berpisah dengan skuad Sang Kenari bagi membolehkannya menyertai Perak FC.
Meskipun hanya meluangkan masa semusim, pemain yang kini berusia 24 tahun itu masih cukup diingati penyokong KDA FC apabila dia menampilkan peranan cukup positif sepanjang keberadaannya itu.
3. Irfan Zakaria
Selepas mencipta nama di KL City FC untuk dua musim, Irfan Zakaria memilih untuk menyertai Sabah FC yang bakal beraksi dalam Piala AFC 2023.
Kebolehannya untuk beraksi sebagai seorang bek tengah cukup disanjung memandangkan pemain terbabit mempunyai pengalaman cukup meluas dalam bola sepak tanah air.
Dia yang memulakan kariernya dalam skuad Harimau Muda sering diberikan tumpuan meskipun jarang diberikan minit permainan bersama skuad kebangsaan.
Tetapi, ia tidak menghalang Irfan daripada terus menampilkan aksi cemerlang apabila dia mempunyai rekod cukup baik dalam setiap kelab diwakilinya.
Antara pasukan yang sempat menagih khidmatnya dalam Liga Super adalah KDA FC yang memilih untuk menagih khidmatnya selama semusim iaitu pada 2020.
Irfan juga pernah mencuba nasib bersama skuad Sang Kenari. — Facebook/Kedah FA
Irfan yang ketika itu beraksi bersama KLFA jelas mencuri tumpuan pihak pengurusan kelab Utara tanah air itu meskipun mereka mempunyai lambakan pilihan bek tengah.
Kebolehannya turut dihargai barisan kejurulatihan memandangkan mereka kerap memberikan pemain kelahiran Kuala Lumpur peluang berada dalam pasukan utama, termasuk ketika kempen kelayakan Liga Juara-Juara AFC (ACL).
Bagaimanapun, khidmatnya hanya digunakan untuk semusim apabila pemain pertahanan yang kini berusia 28 tahun itu memilih untuk kembali ke pangkuan skuad Warga Kota pada penghujung musim.
Keputusan itu jelas memberi kelebihan buatnya apabila Irfan berjaya menjulang Piala Malaysia 2021 di samping beraksi di pentas akhir Piala AFC tahun lalu.
Kini, kehadirannya turut memberikan impak cukup baik buat Sabah FC memandangkan skuad Sang Badak berada di landasan tepat untuk menamatkan saingan Liga Super dalam kelompok lima pasukan teratas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram