'Perlu gol setiap game', sasaran kasut emas milik penyerang Selangor jadi taruhan memalukan JDT


  • Podium
  • Sabtu, 26 Ogos 2023

Ayron Del Valle berpotensi dinobatkan selaku pemenang kasut emas pada Liga Super musim ini. — Facebook/SelangorFC

KEMENANGAN bergaya diraih pasukan Selangor FC dalam pertemuan menentang Kelantan FC pada Jumaat menyaksikan jaringan besar diperoleh skuad Gergasi Merah di tempat lawan.

Aksi 90 minit di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan menyaksikan anak-anak buah Tan Cheng Hoe menang dengan jaringan 11-2 sekali gus mengukuhkan kedudukan pasukan itu di kedudukan kedua carta Liga Super.

Namun, segelintir penyokong melihat kejayaan itu masih belum cukup untuk mencabar pendahulu liga Johor Darul Takzim (JDT) yang semakin selesa dengan 60 mata di tangga teratas.

Berbaki beberapa perlawanan sahaja lagi, peluang Gergasi Merah untuk dinobatkan selaku juara Liga Super musim ini agak sedikit sukar dengan 11 mata dipisahkan dengan kelab Harimau Selatan itu.

Walau bagaimanapun, penyokong Selangor masih menyimpan satu keinginan dan sasaran lain untuk mencalarkan ego pasukan tersebut dengan pemenang kasut emas musim ini dijangka menjadi milik tonggak importnya, Ayron Del Valle.

ROO

Ayron Del Valle (kiri) menjadi sandaran penyokong Selangor untuk menggenggam takhta penjaring terbanyak musim ini. — Facebook/SelangorFC

Diikuti rapat oleh dua lagi penyerang JDT, Ayron Del Valle kini mendahului dengan 21 jaringan, diikuti rapat Fernando Forestieri (17) dan Bergson da Silva (15).

Jika dilihat daripada prestasi semasa, peluang menggondol anugerah itu masih terbuka buat ketiga-tiga pemain tersebut dengan kelibat mereka sentiasa menjadi pilihan jurulatih di setiap perlawanan.

Perlawanan menentang Kelantan menyaksikan Ayron berjaya menjarakkan jurang antara kedua-dua pemain JDT itu apabila memperoleh empat gol dalam pertemuan terbabit.

Ia sekali gus menguatkan lagi sandaran penonton untuk melihat Gergasi Merah muncul pasukan dengan penjaring terbanyak musim ini.

pekp

Fernando Forestieri (kiri) dan Bergson da Silva (kanan) antara pencabat terdekat untuk merampas gelaran kasut emas musim ini. — Facebook/JDT

"Ayron perlu gol di setiap perlawanan sekurang-kurangnya satu ataupun dua kalau nak menang kasut emas, sebab itu sahaja yang kita boleh rebut dari JDT, piala lain nampak susah jadi gelaran kasut emas pun jadi la," kata Azhermy Mahaludin.

"Persembahan Bergson tengah bagus sekarang, Ayron kena konsisten jaringkan gol kalau tak nanti kena potong dengan pemain JDT itu," ujar Nor Ariff.

"Peluang terakhir Selangor nak malukan JDT, biar kalah rebut piala asalkan pemain kita menang kasut emas," jelas Zuhairi Haziq.

"Tak perlu pemain termahal dalam sejarah liga, tapi Selangor boleh dan berpotensi menang anugerah pemain kasut emas musim ini, kena buat gol dalam perlawanan akan datang baru tinggalkan jauh dua pemain JDT itu," tambah Alif Haikal.

Untuk rekod, musim lalu menyaksikan penyerang kelahiran Brazil, Bergson da Silva dinobatkan sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2022 dengan 29 gol.

Ia merupakan rekod baharu Liga Super mengatasi pencapaian terdahulu dihasilkan oleh Ifedayo Olesegun dengan 26 jaringan ketika masih bersama Selangor FC pada musim 2021.

Dengan kedudukan semasa yang menyaksikan pendahulu penjaring terbanyak didominasi Ayron Del Valle, ia sekali gus menjadi taruhan penyokong Selangor untuk melihat memori manis Bergson itu dirampas oleh bintang Merah Kuning pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram