INDIA telah mencatat sejarah menerusi program eksplorasi Bulan (Chandrayaan-3) apabila menjadi negara keempat selepas Amerika Syarikat, Kesatuan Union dan China yang berjaya membuat pendaratan di permukaan bulan.
Namun, apa yang membuatkan ia istimewa daripada pendaratan yang pernah dibuat oleh manusia sebelum ini ialah, India mendarat di kawasan yang tidak pernah diterokai manusia iaitu Kutub Selatan Bulan (South Pole).
Selain melihat perkembangan itu melalui perspektif aeroangkasa dan sains fizikal, fenomena tersebut boleh juga dicerap menerusi perspektif astropolitik.
Sub-bidang ini merupakan bidang yang terpencil dalam IR (International Relations) mahupun SSS (Strategic and Security Studies) tetapi menjadi semakin signifikan dek kerana perkembangan semasa.
Astropolitik merupakan kajian tentang hubungan antara domain angkasa dengan perkembangan dasar dan strategi politik serta ketenteraan.
Penulisan ini akan cuba merungkai fenomena berkenaan melalui kaca mata astropolitik secara ringkas.
Kutub Selatan Bulan (KSB)
Pemilihan kawasan eksplorasi bulan kontemporari berkait rapat dengan perkembangan ilmu pengetahuan manusia terhadap entiti cakerawala paling hampir dengan bumi.
Disebabkan bulan dan bumi bergerak diatas paksi sendiri untuk mengelilingi matahari, maka situasi itu telah menyebabkan beberapa kawasan dipermukaan bulan tidak menghadap matahari.
Roket India berjaya melakukan pendaratan selamat di Kutub Selatan Bulan. — Agensi
Justeru, fenomena ini telah mengakibatkan elemen-elemen asli seperti molekul air (H2O) boleh terkumpul di bahagian ini yang telah pun disahkan oleh pengorbit India (Chandrayan-1) sejak 2008 lagi.
Kuasa Besar sangat gemar dengan penemuan ini kerana ia menjadi kunci utama bagi menjayakan program angkasa lepas mereka yang lain seperti Artemis (US) dan Chang’e (China).
Berjayanya manusia dibulan bermakna satu lagi lembaran baharu dalam eksplorasi angkasa akan bermula.
Projek seperti Lunar Gateway, Moonbase akan menjadi lebih realistik untuk memungkinkan manusia membuat aktiviti seperti perlombongan angkasa dan sebagainya.
Perspektif Astropolitik
Faktor-faktor di atas hanya menjelaskan mengapa kuasa besar dunia berlumba-lumba untuk ke angkasa melalui persepktif sains dan ekonomi.
Justeru, di manakah faktor politiknya?
Menurut teoris strategik kontemporari seperti Everett Dolman dan Bleddyn Bowen, mereka menganggap bahawa orbit bumi merupakan garisan kosmik seakan persisir pantai yang sangat signifikan dalam strategi peperangan (ultimate high ground).
Apa yang berlaku di orbit akan memberi kesan kepada strategi ketenteraan dan tingkah laku ekonomi di Bumi.
Sebagai contoh, banyak aset Rusia berjaya diletupkan oleh tentera Ukraine dalam perang Rusia-Ukraine kerana mempunyai aset angkasa dan menjadi salah satu faktor mengapa tentera Ukraine sangat sukar ditumpaskan.
Perang Rusia-Ukraine kian berlanjutan sejak tempoh setahun lalu.
Dalam strategi peperangan moden, tidak hanya dengan memiliki senjata paling canggih atau paling banyak yang boleh menentukan keunggulan anda dalam medan peperangan.
Menguasai domain angkasa telah menjadi keperluan dalam membentuk strategi ketenteraan yang baik.
Disebabkan itu, setiap program angkasa tidak akan lari daripada tujuan awam dan ketenteraan. Dualisme ini telah pun berlaku sejak manusia mula menjalankan aktiviti angkasa semasa era perlumbaan angkasa US-Soviet dan ianya masih kekal bergerak secara beriringan.
Perlumbaan Angkasa Baharu
Tanpa sedar, kita telah memasuki sebuah era yang dikenali sebagai Perlumbaan Angkasa Baru (New Space Race) yang mempunyai sifat yang sedikit berbeza jika dibandingkan dengan perlumbaan angkasa era US-Soviet.
Antara indikator untuk melihat perlumbaan ini sedang berlaku ialah usaha negara yang turut dibantu oleh aktor bukan negara dalam misi mereka untuk ke bulan.
Walau bagaimanapun, tidak ada negara yang berjaya melakukkan pendaratan baik di KSB seperti mana dilakukan India.
Luna-25 yang merupakan milik Rusia sepatutnya mendarat dua hari sebelum Chandrayaan-3 yang juga gagal untuk berbuat demikian.
Luna-25 merupakan roket milik Rusia yang turut melakukan operasi pendaratan di Bulan sebelum ini. — Agensi
Ia sekali gus menunjukkan India kini sedang berada di hadapan persaingnya kerana mempunyai kelebihan untuk meneroka dan eksploitasi bahagian bulan yang belum pernah diterokai manusia.
Namun, perlumbaan angkasa ini tidak terhenti di situ sahaja.
Bulan memang akan dijadikan sebagai muka depan dalam setiap program angkasa bagi kuasa besar tetapi disebaliknya, program tentera yang membangunkan teknologi angkasa untuk strategi ketenteraan juga tetap berjalan.
Tanpa ragu saya boleh katakan perkembangan ini pastinya akan terus mewarnai dan mempengaruhi geopolitik dunia. — Majoriti / Muhammad Aiman Roszaimi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram