[VIDEO] Muka berubah pucat, budak lelaki sesak nafas dibiarkan tidur dalam kereta berkunci


  • Tular
  • Jumaat, 25 Ogos 2023

Tangkap layar seorang kanak-kanak lelaki terperangkap dalam sebuah kereta yang berkunci. — Twitter

SEORANG kanak-kanak lelaki dijumpai terkunci dalam sebuah kereta dipercayai ditinggalkan oleh ibu bapanya pada Khamis.

Dalam satu rakaman berdurasi seminit di Twitter, memaparkan kanak-kanak terbabit dalam keadaan sesak nafas dan hampir pitam akibat ketiadaan oksigen.

Berkunci dari luar, hanya tingkap di bahagian pemandu depan dibiarkan sedikit terbuka sebagai laluan untuk membenarkan udara masuk.

Menyedari situasi tersebut, seorang individu dikenali sebagai @arifjat di Twitter mendakwa budak lelaki terbabit meronta dan menangis akibat sesak nafas ketika kejadian.

"Tengok aku jumpa tadi budak menangis dalam kereta berpeluh sampai pucat.

"Enjin dimatikan lepas itu tingkap depan saja buka sikit, kenapa la tinggalkan anak dalam kereta tengah panas macam ini.

"Hampir 40 minit aku dekat situ ibu bapa dia tak datang pun jadi aku minta pertolongan ramai.

"Perkembangan terkini budak itu selamat, semua orang pecahkan tingkap dan bawa kanak-kanak itu ke klinik untuk menerima rawatan," ujarnya di Twitter.

Namun, sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan polis berhubung kes tersebut dengan lokasi kejadian juga tidak diketahui buat masa sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram