PUSAT penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram ditutup pada 10 pagi Sabtu selepas dibuka selama sejam sejak pukul 9 pagi.
Kedua-dua pilihan raya kecil itu akan menjadi pertembungan tiga penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan calon Bebas.
Pusat penamaan calon bagi Parlimen Pulai diadakan di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Johor manakala bagi Simpang Jeram ialah di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Muar, Johor.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan pengundian awal pada 5 September dan pengundian pada 9 September, manakala tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada Sabtu dan akan berlangsung sehingga 11.59 malam pada 8 September.
PRK Parlimen Pulai dan Dun Simpang Jeram dipanggil berikutan kematian penyandangnya, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub pada 23 Julai lalu akibat pendarahan otak.
Seramai 166,653 pengundi yang layak dalam pilihan raya kecil di parlimen Pulai dan 40,379 pengundi di kerusi DUN Simpang Jeram. Daftar pemilih yang digunakan untuk pilihan raya kecil itu adalah daftar pemilih tambahan terbaharu yang dikemas kini setakat 23 Julai. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram