
BARU sahaja berumur 21 tahun, ubi muda Sri Pahang Bawah 23 (B23) kini menjadi bualan dalam kalangan penyokong Tok Gajah kerana prestasi yang ditunjukkannya ketika berada di atas padang.
Walaupun namanya tidak segah Arif Aiman yang ketika ini bermain bersama skuad gergasi, Johor Darul Takzim (JDT), namun Ibrahim Manusi boleh dikatakan anak Orang Asli pertama yang menyarung jersi pasukan tersebut.
Malah, Ibrahim merupakan tonggak utama skuad Pahang ketika kempen Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dan watak penting yang membawa skuad Tok Gajah dinobatkan naib johan Piala Presiden 2022.
Ketinggian dan susuk fizikal Ibrahim mengundang perhatian ramai dengan penyokong Tok Gajah melakukan perbandingan pemain muda itu dengan bintang Eropah, Zlatan Ibrahimovic.
Aksi Ibrahim Manusi ketika perlawanan menentang Selangor FC B23 pada Rabu lalu. — Facebook/Sri Pahang
Pada musim lalu, dia turut diberikan kepercayaan daripada barisan kejurulatihan skuad utama Sri Pahang FC untuk beraksi dalam perlawanan Liga Super untuk diberikan pendedahan di peringkat awal.
Untuk rekod, Ibrahim melakukan debut bersama Sri Pahang sewaktu perlawanan menentang Sarawak United.
Pada perlawanan Skuad Tok Gajah B23 menentang Selangor FC B23 yang berlangsung baru-baru ini, anak jati kelahiran Pahang itu sekali lagi mencuri hati penyokong yang kagum dengan prestasi yang dipamerkan.
Hal itu kerana, dia yang menggalas tugas sebagai pemain pertahanan dilihat cemerlang dan berjaya mengucar-ngacirkan permainan pihak lawan.
Sementara itu, Sri Pahang dijadualkan bakal bertembung dengan PDRM FC pada satu masa yang akan ditetapkan kelak.
Oleh itu, ada dalam kalangan penyokong berharap agar pemain tinggi lampai itu diturunkan dalam perlawanan yang dijangka berlangsung di Stadium Darul Makmur, Pahang.
Sosok tubuh Ibrahim yang tinggi lampai menarik perhatian penyokong. — Facebook/Sri Pahang
"Ibrahim Manusi tu kalau jurulatih betul-betul nak push dia punya gameplay, boleh saja perlahan-lahan bagi dia main pair dengan import untuk pasukan senior sekali sekala.
"Masukkan sebagai sub. Kalau betul serius nak bagi dia punya performance berkembanglah, rugi ada pemain tinggi jika tak asah betul-betul," tulis Mu Fir.
"Ibrahim ni antara pemain muda yang berbakat besar, nampak momentum dia semakin baik dari masa ke masa. Jurulatih kena bagi dia peluang dan turunkan dia selalu dalam perlawanan skuad senior, baru dapat banyak pendedahan," kata Juvales.
"Ibrahim ni jangan dibiarkan lama sangat dalam skuad junior, nampak dia boleh pergi jauh dengan Pahang. Takut nanti melepas ke kelab lain pula," kata Hasi Awang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram