
KEPUTUSAN tidak menentu dalam Liga Super sekali lagi dialami Sri Pahang FC apabila mereka tewas kepada Kedah Darul Aman (KDA) FC di tempat lawan Selasa lalu.
Kelekaan benteng pertahanan pasukan Pantai Timur itu mudah dihukum penyerang import Sang Kenari, Ifedayo Olusegun pada minit keempat sebelum J Partiban menggandakan kelebihan sebelum separuh masa pertama tamat.
Meskipun terdapat percubaan daripada pemain skuad Tok Gajah untuk kembali mengikat kedudukan, persembahan cemerlang tuan rumah menyekat hasrat mereka itu.
Kekalahan itu menyaksikan Sri Pahang FC kekal di tangga keempat sementara KDA FC semakin jauh meninggalkan mereka dalam usaha kelab tersebut untuk merebut slot ke pentas Asia musim depan.
Tekanan semestinya dirasai ketua jurulatih, Fandi Ahmad memandangkan ia merupakan kekalahan kedua mereka dalam tiga aksi terakhir dalam Liga Super.
Kpah gagal memberikan impak dengan kekurangan peluang dimilikinya ketika berdepan KDA FC. — Facebook/Sri Pahang FC
Walaupun pasukan berkenaan tidak memasang cita-cita untuk melayakkan diri ke Piala AFC 2024, kedudukan lebih baik pastinya menjadi sasaran pihak pengurusan.
Di samping dapat menarik lebih banyak pelabur, pencapaian sebegitu akan membantu menarik lebih ramai penyokong setiap kali perlawanan diadakan di tempat lawan mahupun di laman sendiri.
Persoalan kini mula diajukan terhadap Fandi serta barisan kejurulatihannya mengenai punca di sebalik kekalahan itu, lebih-lebih lagi apabila pemain dilihat tidak bersemangat sepanjang 90 minit di Stadium Darul Aman, Kedah.
Jadi, untuk menjawab tanda-tanya itu, Sri Pahang FC memilih untuk menyenaraikan tiga sebab daripada pengendali pasukan atas keputusan mengecewakan berkenaan di laman Facebook rasmi kelab.
"Apabila kita menyerang, cuma penyerang dan satu atau dua pemain tengah sahaja yang bergerak ke hadapan. Pemain yang berada di bahagian belakang terutamanya agak lambat untuk datang memberi sokongan.
"Tetapi apabila kita kehilangan bola, pemain yang sudah naik ke atas itu tidak pula balik ke kawasan masing-masing untuk membantu bertahan. Maka anda dapat melihat bagaimana KDA FC mendominasi babak pertama," katanya.
Rafael Silva masih dibelenggu isu kecederaan dan kecergasan. — Facebook/Sri Pahang FC
Berdasarkan kesebelasan utama sebelum ini, Sri Pahang FC tampil dengan hanya seorang penyerang tunggal, iaitu Kpah Sherman dengan diberikan bantuan oleh Azrif Nasrulhaq dan Nur Shamie Iszuan di bahagian sayap.
Pendekatan itu kerap digunakan Fandi sepanjang musim memandangkan ia adalah taktikal terbaik buat skuad Tok Gajah melihat kepada barisan pemain dimilikinya.
Selain itu, jurulatih kelahiran Singapura tersebut turut menegaskan bahawa kekurangan pemain dan faktor keletihan turut menjejaskan peluang untuk menampilkan aksi terbaik.
"Selepas mengharungi saingan Piala Malaysia di Negeri Sembilan (berdepan Harini FT), kami terus melalui perjalanan panjang ke Kedah."
"Ketika ini juga, kami tidak dapat menggunakan khidmat Lucas (Silva) dan Rafael Silva yang masih berdepan isu kecergasan serta kesihatan. Keadaan itu menyebabkan penyerang utama, Kpah Sherman bagai keseorangan di depan," katanya.
Selepas ini, Sri Pahang FC sepatutnya dijadualkan bertemu PDRM FC di laman sendiri untuk aksi ke-20 Liga Super, namun ia terpaksa ditangguhkan ke satu tarikh baharu.
Oleh itu, skuad kendalian Fandi Ahmad pastinya akan menggunakan tempoh rehat itu untuk menyiapkan diri sebelum perlawanan timbal balik Piala Malaysia berdepan Harini FT pada 20 Ogos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram