Bocor berita perpindahan ubi muda Pahang, fans mula melenting salahkan pengurusan kelab


  • Podium
  • Selasa, 08 Nov 2022

Hasnul (kiri) masih berkhidmat bersama pasukan simpanan Sri Pahang ketika ini. — Facebook/Sri Pahang FC

SRI Pahang FC merupakan salah satu pasukan yang kerap melahirkan bintang-bintang baharu sehingga mampu membantu skuad negeri dan kebangsaan sejak penubuhan 70 tahun lalu.

Antara nama pemain yang pernah dilahirkan pasukan simpanan ialah penjaga gol Selangor FC, Khairulazhan Khalid serta pemain tengah skuad Tok Gajah, Azam Azih.

Bakat-bakat yang dihasilkan itu sememangnya sukar untuk dinafikan kemampuan mereka selepas pernah mengerah keringat bersama skuad Harimau Malaya sebelum ini.

Oleh itu, mereka pastinya berhasrat untuk terus membangunkan pemain muda, sekali gus dapat membantu pasukan mengecapi semula tahun-tahun kegemilangan seperti sebelum ini.

Ketika ini, antara nama ubi muda yang sedang mengasah bakat mereka bersama pasukan simpanan Sri Pahang FC ialah pemain pertahanan kiri, Hasnul Zaim Zafri.

Selain dilihat mempunyai keupayaan untuk menyekat serangan lawan, usianya yang baru sahaja mencecah 23 tahun dilihat sebagai aset utamanya dalam pasukan tersebut.

929267ED-3C1F-42BF-BF17-626D9F7821DB

Hasnul kerap diberikan minit permainan ketika bersama bekas jurulatih, Christopher Gamel. Facebook/Sri Pahang FC

Musim ini, dia turut diberikan kepercayaan daripada barisan kejurulatihan apabila dia diturunkan dalam lima aksi Liga Super untuk diberikan pendedahan di peringkat awal.

Prestasi itu sudah cukup untuk menjulang namanya sebagai salah satu prospek yang tidak boleh dilepaskan Sri Pahang FC dalam usaha mengukuhkan lagi benteng pertahanan.

Namun, baru-baru ini, muncul pula satu perkhabaran di media sosial yang mengatakan pemain muda itu bakal menjadikan Selangor FC sebagai destinasi baharunya.

Berita itu seakan-akan sahih apabila ia dilihat seperti dibocorkan seorang lagi pemain muda Tok Gajah, Ibrahim Manusi menerusi laman Instagram peribadinya.

"Semoga berjaya Hasnul untuk musim depan," katanya sambil menyertakan emoji 'love' berwarna merah dan kuning.

WhatsApp Image 2022-11-08 at 11.57.31

Ibrahim Manusi seakan-akan memberi petunjuk bahawa Hasnul bakal meninggalkan Sri Pahang.

Warna tersebut sememangnya sinonim dengan skuad Gergasi Merah melihat kepada bendera negeri tersebut serta logo pasukan yang sudah diguna sejak berpuluh tahun lamanya.

Hantaran dan komen itu ketika ini tidak boleh diakses apabila pemain tersebut bertindak menutup ruangan komen, sekali gus memadam berita itu daripada tatapan awam.

Perkara itu pastinya mengejutkan serta mengecewakan penyokong Sri Pahang yang mula berpaut hati dengan prestasi Hasnul, baik di pasukan simpanan mahupun skuad senior.

Perasaan itu diluahkan di media sosial dengan rata-rata daripada mereka menunding jari ke arah pihak pengurusan yang gagal menyekat penghijrahan bintang muda itu.

"Kalau betul-betul berlaku, memang sepertinya layaklah untuk dikutuk pihak pengurusan kerana mereka pasti akan membawa masuk sesiapa yang kurang meyakinkan," kata Khairul Fiza.

"Lari sahajalah pemain-pemain muda Sri Pahang kerana ada badan pentadbiran sekalipun, mereka seperti tidak wujud. Di saat pasukan lain sudah sibuk mencari pemain baharu, mereka seperti tidak kisah sahaja," kata Azam Azam.

Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan hanya akan dibuka pada Disember, berita itu masih tidak sahih dengan Selangor FC juga masih memberi tumpuan sepenuhnya dalam kempen Piala Malaysia. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram