SUSULAN kemenangan diraih pasukan Perak FC menentang Penang FC di saingan ke-19 saingan Liga Super pada Rabu, tumpuan pemerhati bola sepak kini pastinya terarah kepada kebangkitan dipamerkan skuad Seladang.
Menang 3-1 di hadapan penyokong sendiri di Stadium Perak, kejayaan itu lebih manis lagi apabila kemenangan tersebut disaksikan lebih 3,000 penyokong yang hadir menonton perlawanan tersebut.
Meraih pujian dalam kalangan peminat setia yang mengagumi semangat juang serta corak permainan teratur ditunjukkan, kemenangan berterusan ditagih untuk perlawanan seterusnya di saingan ke-20 Liga Super menentang Johor Darul Takzim (JDT).
JDT yang sememangnya dikenali sebagai satu pasukan berstatus elit dan sensasi di liga tempatan, dilhat sebagai cabaran besar buat anak-anak buah Yusri Che Lah yang bakal berkunjung ke tempat lawan pada 13 Ogos nanti.
JDT bakal melayan kunjungan Perak di Stadium Sultan Iskandar pada 13 Ogos nanti. — Facebook/JDT
Kebangkitan Perak pastinya turut disedari pengurusan serta pemain Harimau Selatan dengan persiapan terbaik dijangka akan dibuat menjelang pertemuan tersebut.
Di sebalik barisan pemain JDT yang akan diuji dengan semangat baharu skuad Seladang, penyokong Harimau Selatan juga pastinya turut berdebar menantikan cabaran yang bakal diberikan kepada pasukan mereka.
Namun, bagi segelintir peminat JDT, mereka mengajak skuad Perak tampil dengan gaya permainan secara terbuka dan tidak mengamalkan taktikal 'parkir bas' yang sering dimainkan pasukan-pasukan lain antaranya Selangor FC, PDRM FC dan Sri Pahang FC.
Di ruangan komen Facebook, peminat pasukan Merah Biru itu melaungkan cabaran buat pasukan The Bos Gaurus (TBG) untuk bermain 'open game'.
"Yang penting main 'open game', kalau gaya Tan Cheng Hoe (pengendali Selangor FC), Bojan Hodak (bekas pengendali KL City FC), Fandi Ahmad (jurulatih Sri Pahang) dan PDRM memang suka main parkir bas bila jumpa JDT, maaf cakap cara seperti itu tidak dihormati," kata Lee Jalee Dkj.
"Kalau betul boleh tundukkan JDT baguslah aku sokong walaupun aku fans JDT, nak tengok Perak yang dulu cuma jangan amalkan parkir kalau lawan dah jaringkan gol dulu.
"Tak cuba tak tahu kan, semoga berjaya Perak, jangan gentar datang ke Stadium Sultan Iskandar," ujar Boss Grey.
Yusri Che Lah berjaya menunjukkan kebangkitan pasukan Perak FC dalam beberapa perlawanan terdahulu. — Facebook/PerakFC
Dalam pada itu, corak permainan Perak tempoh hari menentang Penang seolah-olah memberi nafas serta keyakinan baharu buat peminat setia TBG.
Menganggap taktikal diterapkan Yusri Che Lah sudah mula difahami dan serasi dengan pemain-pemain pilihannya, Perak kini lebih berani untuk melakukan serangan dan menerjah ke benteng pertahanan lawan menerusi hantaran pendek.
"Nampak berbeza main lawan Kedah sebelum ini, pemain Perak semakin bernai pegang bola lama dan tak ambil masa panjang untuk membuat hantaran ke rakan sepasukan," kata Daniel Fikri.
"Formasi menyerang dan bertahan digunakan Yusri Che Lah nampak memberi kesan di bahagian serangan hadapan, dua bertahan bila perlu dan pemain di atas akan buat serangan pantas untuk lepas dari benteng pertahanan lawan," jelas Zulhari Haziq.
Pada pertemuan itu nanti, kelibat kapten pasukan Luciano Guaycochea dan penyerang baharu Perak, Luka Milunovic pastinya dijadikan sandaran dan harapan peminat untuk mencatatkan nama selaku penjaring di Johor.
Untuk rekod, kedua-dua penyerang import itu berjaya menjaringkan gol pada perlawanan menentang Kedah di pusingan 16 saingan Piala Malaysia Khamis lalu dengan satu lagi gol hadir menerusi serangan pantas dilakukan pemain gantian, Hakimi Mat Isa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram