[VIDEO] Calon presiden Ecuador maut ditembak ketika berkempen, negara diisytihar darurat 60 hari


  • Benua
  • Khamis, 10 Ogos 2023

Orang ramai berlindung selepas tembakan dilepaskan pada penghujung perhimpunan Villavicencio di Quito, Ecuador pada 9 Ogos. — Agensi

CALON Presiden Ecuador, Fernando Villavicencio maut selepas ditembak lelaki tidak dikenali kurang dua minggu menjelang pilihan raya parlimen dan presiden yang dijadual berlangsung pada 20 Ogos kelak.

Lelaki yang tidak dikenali melepaskan tembakan ke arah Fernando Villavicencio, 59, ketika beliau mahu menaiki kereta selepas berkempen di Quito, Ecuador kira-kira pukul 6.20 petang.

Pejabat peguam negara terbabit berkata, seorang suspek cedera parah dalam kejadian berbalas tembak dengan anggota keselamatan dan kemudian meninggal dunia semasa dalam tahanan.

Sembilan orang turut cedera dalam kejadian itu, termasuk seorang calon Parlimen dan dua pegawai polis.

Presiden Ecuador Guillermo Lasso berkata, dia amat kesal dan terkejut dengan pembunuhan calon presiden Fernando Villavicencio selain turut berikrar akan memastikan pelakunya tidak terlepas daripada hukuman.

Lasso berkata, pihak berkuasa akan mengadakan pertemuan pada Rabu petang untuk membincangkan langkah yang perlu diambil susulan insiden mengejutkan itu.

"Jenayah terancang telah melampaui batas, hukuman yang berat akan dikenakan mengikut lunas undang-undang," kata Lasso.

Villavicencio ialah calon presiden untuk parti 'Build Ecuador Movement' dan berada di tempat keempat atau kelima dalam tinjauan pendapat baru-baru ini.

Sebagai seorang wartawan dan Ahli Parlimen, beliau sering mengkritik jenayah rasuah yang berleluasa di Ecuador.

Difahamkan, pilihan raya presiden dan parlimen akan diadakan di Ecuador selepas Lasso membubarkan Parlimen di tengah-tengah prosiding pemecatan terhadapnya kerana dakwaan penyelewengan.

Negara yang sedang dilanda krisis politik itu turut menyaksikan peningkatan ketara insiden keganasan.

Jumlah kes pembunuhan meningkat daripada 2,115 kepada 4,603 pada tahun lalu, dengan kadar 25 kes bagi setiap 100,000 penduduk yang merupakan rekod tertinggi dalam sejarah negara.

Dalam pada itu, Presiden Ecuador Guillermo Lasso pada Khamis mengumumkan perintah darurat di seluruh negara selama 60 hari berhubung pembunuhan calon presiden Fernando Villavicencio.

"Saya mengisytiharkan darurat selama 60 hari mulai sekarang, angkatan tentera digerakkan di seluruh negara untuk menjamin keselamatan rakyat, keamanan negara dan pilihan raya yang bebas serta demokratik," kata Lasso dalam ucapannya kepada rakyat negara itu yang disiarkan menerusi saluran pentadbiran presiden di YouTube, lapor Sputnik.

Presiden juga mengisytiharkan tempoh berkabung negara selama tiga hari berhubung pembunuhan calon presiden tersebut. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram