SELANGOR FC meneruskan rentak cemerlang mereka dalam Liga Super apabila mengungguli aksi Derby Lembah Klang berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri pada Selasa.
Kemenangan yang diraih menerusi jaringan Harith Haiqal Adam Afkar dan Mukhairi Ajmal sedikit sebanyak membantu mereka mengukuhkan kedudukan di tangga kedua Liga Super.
Aksi cukup bertenaga berjaya ditampilkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe yang beraksi dengan cukup cemerlang meskipun memilih untuk merehatkan beberapa tonggak utama pasukan.
Tumpuan semestinya diberikan kepada penyerang import, Richmond Boakye yang sekali lagi gagal memberikan impak selepas hadir ketika jendela perpindahan lalu.
Di samping sering mensia-siakan peluang yang dihidangkan kepadanya, pemain itu juga tidak memberikan bantuan untuk mencuba mencuri penguasaan bola daripada pihak lawan.

Harith Haiqal (kanan) meletakkan skuad Gergasi Merah di hadapan seawal minit ke-32 permainan. — Facebook/Selangor FC
Namun, di sebalik aksi mengecewakan itu, penyokong Gergasi Merah masih boleh tersenyum apabila Harith Haiqal menampilkan persembahan cukup bertenaga.
Dia yang diberikan peluang dalam kesebelasan utama bagi menggantikan Shahrul Nazeem Zulpakar mengambil peluang itu dengan aksi pertahanan cemerlang.
Tidak cukup dengan itu, pujian turut diberikan apabila bek tengah berusia 21 tahun itu menjaringkan gol pertama perlawanan pada minit ke-32.
Jaringan yang terhasil berpunca daripada sepakan penjuru itu jelas menyuntik semangat buat Selangor FC apabila mereka terus meningkatkan lagi intensiti permainan.
Sumbangan berkenaan sememangnya menaikkan lagi nama Harith dengan rata-rata penyokong mula memberikan pujian sepanjang keberadaannya di atas padang.
"Harith adalah kapten pada masa akang datang, jaga betul-betul. Letakkan klausa perpindahan sehingga RM100 juta ke atasnya," kata Anuar Zainal Abidin dengan nada gurauan.
"Bagus betul si Harith ni main. Dulu kalau kita selalu harapkan Afro (Shahrul) dan Yazan, kini kita sudah ada Harith untuk pilihan," kata Zam Halim.
Selepas ini, Selangor FC bakal berdepan Negeri Sembilan FC di tempat lawan pada 14 Ogos dengan harapan untuk menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
