MESKIPUN sedang menjalani hukuman penggantungan selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim mungkin tetap akan dipanggil untuk beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tahap 1 di Chengdu, China pada September.
Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon membayangkan pihaknya akan membantu Faisal bagi memastikan dia berada dalam keadaan terbaik sebelum aksi menentang Syria pada 6 September dan China tiga hari kemudian.
"Dia telah bermain banyak perlawanan dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Saya tidak fikir ia (penggantungan) akan menjejaskan prestasinya.
"Kita akan hubungi dia dan bertanya bagaimana kita dapat boleh membantunya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis undian Pestabola Merdeka 2023 di Petaling Jaya, Selangor pada Selasa.

Pan-gon akan mencari cara untuk memastikan tahap kecergasan Faisal berada di tahap terbaik.
Faisal baru-baru ini digantung permainan hingga 23 Ogos oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM kerana membuat kenyataan kepada media tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, pada Sabtu lepas, jawatankuasa itu bersetuju membenarkan pemain berusia 25 tahun itu menyertai semula latihan bersama Selangor berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan dia dapat mengekalkan tahap kecergasannya.
Pasukan negara akan memulakan kempen Pestabola Merdeka 2023 dengan menentang India pada 13 Oktober di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Kejohanan empat pasukan itu juga akan menyaksikan Palestin menentang Lubnan dalam satu lagi perlawanan, bagi penentuan untuk ke final, sama ada menentang Malaysia atau India pada 17 Oktober.
Untuk rekod, Malaysia muncul pasukan paling banyak memenangi Pestabola Merdeka dengan 12 gelaran termasuk memenangi kejohanan terakhir sejak kali pertama diadakan pada 1957. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
