Nama prospek padu JDT, Perak tidak tersenarai buat fans tertanya-tanya 'plan' Elavarasan


  • Podium
  • Isnin, 07 Ogos 2023

Aysar (kanan) sudah melakukan debut bersama skuad utama JDT pada aksi pusingan pertama Piala Malaysia menentang Kelantan. — Facebook/FAM

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Isnin mengumumkan seramai 25 orang pemain dipanggil oleh pengendali skuad kebangaan Bawah 23 tahun (B-23), E Elavarasan ke kem latihan pusat yang bermula Ahad ini.

Panggilan ke kem latihan itu adalah sebagai persediaan untuk skuad kendalian Elavarasan bagi menghadapi Kejuaraan B-23 Piala AFF 2023 di Rayong, Thailand bermula 17 hingga 26 Ogos 2023.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan badan induk itu pada Selasa, bagi pemain yang terlibat dengan perlawanan Liga Super 2023 pada 13 dan 14 Ogos 2023, mereka perlu melapor diri sehari selepas perlawanan-perlawanan tersebut.

Daripada senarai 25 pemain ini, seramai lima orang pemain terdiri daripada pasukan Selangor, empat orang daripada Johor Darul Takzim (JDT II), tiga pemain daripada Penang FC, Terengganu dan Kelantan.

Selain itu, dua pemain daripada Kedah Darul Aman (KDA FC), Sri Pahang, Kuala Lumpur City serta seorang pemain daripada skuad Liga M3, Imigresen FC.

WhatsApp Image 2023-08-07 at 21.18.59-2

Senarai nama 25 pemain yang dipanggil bagi menghadiri tugasan bersama skuad kebangsaan. Facebook/FAM

Daripada senarai tersebut, ada penyokong bola sepak tanah air mempersoalkannya apabila tidak melihat nama besar seperti Luqman Hakim yang mana sebelum ini dia pernah sahkan tidak akan sertai skuad Piala AFF B-23 kerana tidak mendapat pelepasan kelab.

Bukan hanya Luqman dicari oleh penyokong, malah penyokong yang bertindak sebagai pemain ke-12 Harimau Malaya B-23 juga mempersoalkan ketiadaan dua pemain JDT iaitu Aysar Hadi dan Adam Farhan serta ubi muda Perak yang sedang meningkat naik iaitu Hakimi Mat Isa.

“Aysar Hadi dengan Adam Farhan tiada kah?,” tanya penyokong, Cikgu Sham.

“Aysar itu bagus tapi tiada nama... Aiman Afif juga dia ambil,” komen seorang lagi penyokong, Nizam Mohamed.

“Hakimi Mat Isa tidak tersenarai kah? Asyik-asyik pemain sama sahaja,” kata seorang lagi penyokong, Abe Ruwoii.

Berdasarkan kenyataan FAM, dua nama pemain JDT II itu tidak tersenarai dalam kejohanan Piala AFF kali ini namun Hakimi diletakkan dalam Senarai Bersedia sekiranya terdapat perubahan.

Skuad B-23 kebangsaan yang diundi dalam Kumpulan B akan berlepas ke Thailand pada 16 Ogos 2023 dan seterusnya memulakan saingan berdepan Indonesia pada Jumaat (18 Ogos 2023) sebelum bertemu Timor-Leste pada Selasa (22 Ogos 2023).

Juara kumpulan iaitu tiga pasukan dan naib juara kumpulan terbaik (1 pasukan) akan layak ke separuh akhir pada 24 Ogos, seterusnya aksi penentuan tempat ketiga dan final akan berlangsung pada 26 Ogos 2023. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram