SELANGOR bukan pasukan yang hanya bergantung harap kepada pemain sayap berkaliber, Faisal Halim, malah ramai lagi pemain dilihat boleh beraksi untuk membantu skuad tersebut.
Demikian tegas kapten Gergasi Merah, Brendan Gan.
Pemain bertubuh kecil yang mesra dengan panggilan Mickey itu tidak akan beraksi dalam perlawanan derbi Lembah Klang menentang Kuala Lumpur di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Selasa.
Sebelum ini, Faisal digantung selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berikutan komen yang dibuatnya selepas perlawanan Liga Super menentang Sabah pada 27 April lalu.

Sekitar aksi sesi latihan pemain Gergasi Merah. — Facebook/selangorfc
Justeru, Brendan mencabar setiap pemain muda skuad itu tampil berani mengambil peluang beraksi dalam perlawanan Liga Super sepanjang ketiadaan Mickey.
Pemain kacukan Malaysia-Australia itu menyarankan agar semua pemain muda menyerlahkan bakat mereka untuk membantu Selangor meneruskan momentum dalam liga.
"Setiap orang perlu bersedia. Selangor bukan hanya tertumpu kepada individu tetapi kesemua 27 pemain.
“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dalam pasukan dan tidak bergantung kepada seorang pemain sahaja. Jurulatih boleh memanggil salah seorang daripada kami dan kami perlu bersedia pada setiap masa dan bermain di mana-mana posisi," kata Brendan.
Walaupun jadual perlawanan Liga Malaysia (Liga-M) padat, namun Brendan mampu menangani perkara tersebut.
“Kami mempunyai banyak perlawanan bulan ini tetapi saya mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam menangani jadual yang padat.
"Menjaga pemakanan dan kesihatan adalah penting," kongsinya.
Sementara itu, jurulatih baharu Kuala Lumpur, Nenad Bacina tidak sabar untuk membimbing pasukan Lembah Klang itu buat kali pertama dalam liga.
“Selangor adalah pasukan pilihan manakala kami underdog berdasarkan kedudukan dalam liga. Kami akan melakukan yang terbaik untuk mengecewakan mereka,” kata Bacina.
The City Boys akan bergantung kepada pemain utama mereka iaitu Tchetche Kipre untuk membantu skuad Warga Kota memburu kedudukan terbaik liga. — The Star/T.AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram
