Soony Saad sebagai 'poster boy' jumpa Perak macam nak sedapkan hati fans Penang raih 3 mata dekat 'away'


  • Podium
  • Selasa, 08 Ogos 2023

Penang akan berkunjung ke venue Perak FC dalam aksi Liga Super pada Rabu. — Facebook/PenangFC

PENANG FC boleh dianggap antara pasukan yang mengalami prestasi tidak konsisten pada musim ini dengan tiga perlawanan terbaharu termasuk satu aksi Piala Malaysia menyaksikan skuad Harimau Kumbang hanya merekodkan kekalahan demi kekalahan.

Dua perlawanan terbaharu Liga Super yang menyaksikan Harimau Kumbang tewas ialah pada pertemuan kalah 0-3 di tangan Selangor FC dan tersungkur 1-2 di laman sendiri ketika bertemu Sabah FC.

Tidak cukup dengan itu, penyokong Penang FC pula semakin terguris hati apabila tewas besar 0-4 tanpa jaringan di tangan Kuala Lumpur (KL) City FC yang disaksikan oleh ribuan penyokong di Stadium Bandaraya, George Town, Pulau Pinang dalam pusingan pertama Piala Malaysia pada Khamis lalu.

Keputusan semua perlawanan tersebut membuatkan penyokong Harimau Kumbang semakin tawar hati untuk menunjukkan sokongan kepada skuad kendalian Chong Yee Fat itu dalam aksi bertemu Perak FC pada Rabu.

Dengan prestasi yang ditunjukkan skuad The Bos Gaurus (TBG) baru-baru ini iaitu menewaskan Kedah Darul Aman (KDA) FC 3-1 membuatkan sebahagian penyokong Harimau Kumbang kurang yakin pasukan mereka akan meraih mata di Stadium Perak, Ipoh.

Meskipun skuad Seladang dibezakan enam mata dari Harimau Kumbang namun momentum kemenangan selepas kalahkan pasukan gergasi seperti Sang Kenari pastinya membuatkan kesemua pemain TBG bermotivasi untuk menentang pasukan pelawat di laman sendiri.

Bagi menaikkan kembali semangat pemain ke-12 untuk menyaksikan perlawanan ke-19 Liga Super itu, Penang FC dilihat meletakkan gambar penyerang utama, Soony Saad sebagai 'poster boy' untuk mencuri perhatian penyokong.

isi dalam penang

Soony dilihat sudah turun berlatih bersama rakan sepasukan. — Facebook/PenangFC

Wajah Soony yang terpapar pada poster perlawanan tersebut sedikit sebanyak memberi sinar kepada penyokong untuk mempercayai bahawa tonggak import itu akan diturunkan sebagai penyerang utama selepas lama menghilang.

Import dari Lubnan itu sebelum ini difahamkan ditimpa masalah kecederaan sehingga menyebabkan barisan kejurulatihan tidak dapat menggunakan khidmatnya dalam tiga perlawanan Liga Super terakhir Penang FC.

"Soony Saad sebagai poster boy..adakah ini petanda Soony akan kembali dalam first eleven bertemu perak hari Rabu nanti.. rata-rata penyokong dah mula tawar hati dengan prestasi Penang FC sampai ke hari ini.. tapi buatlah sehabis baik untuk selamatkan pasukan dari jatuh liga," kata penyokong Harimau Kumbang, Shah Akmal.

"Ayat penyedap rasa," tambah seorang lagi peminat, Firls Firman AL Kahfi yang beranggapan wajah Soony di poster tersebut hanya ingin menenangkan 'pemain ke-12' Harimau Kumbang.

"Nak menang bukan harap Soony turun first eleven saja...tapi keseluruhan pasukan...kalau Soony main bagus yang lain main tak bagus pun tak guna juga...terima sajalah kenyataan dua musim penang jadi lubok gol dengan mata," komen seorang lagi penyokong, Pak Ngah Syam.

Kehadiran pemain berusia 30 tahun itu pasti akan menambah serangan pada bahagian serangan Harimau Kumbang dan dipercayai mampu menambah mata untuk memperbaiki kedudukan Penang FC yang kini berada di tangga ke-10 Liga Super.

Untuk rekod, bekas pemain PT Prachuap itu sudah merekodkan lima jaringan gol dalam 14 perlawanan Liga Super dia diturunkan pada musim ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram