Terkenal dengan hantaran padu, Htet Aung tidak sabar robek gawang KUFC


  • Podium
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Htet Aung ketika beraksi bersama Selangor FC menentang Kedah. — Instagram/_heinhtet_aung

RAYUAN Ketua Jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan untuk mendapatkan pemain baharu agar memperkuatkan skuad akhirnya didengari.

Skuad Jang membawa masuk dua import iaitu pemain sayap kebangsaan Myanmar, Hein Htet Aung dan penyerang Sepanyol-Maghribi, Youssef Ezzejjari sebelum jendela perpindahan kedua ditutup pada 1 Ogos lalu.

NSFC telah mengeluarkan kenyataan bulan lepas mengatakan bahawa mereka tidak akan membuat pembelian baru, tetapi Devan berkeras untuk mendapatkan bantuan selepas kehilangan pemain tengah Singapura, Safuwan Baharuddin dan pemain tengah, Levy Madinda.

Htet Aung menyertai skuad Jang secara pinjaman dari Selangor manakala Ezzejjari diterbangkan dari kelab Thai Khon Kaen United.

Htet Aung yang berusia 21 tahun, bermain dalam Liga Malaysia sejak 2021, terkenal dengan tipu helah dan hantaran hebat dari sayap, dijangka perkuatkan barisan penyerang Brazil Casagrande, Shahrel Fikri Md Fauzi dan Ezzejjari.

Ezzejjari, 30, telah bermain di Asia Tenggara sejak 2021, untuk pasukan Indonesia seperti Persik Kediri dan Bhayangkara, kali terakhir beraksi untuk Khon Kaen dalam Liga Thai.

Kedua-dua pemain import tersebut dijangka membuat penampilan sulung mereka untuk skuad Jang dalam perlawanan pusingan pertama pusingan 16 Piala Malaysia menentang Kelantan United di Stadium Sultan Mohd IV di Kota Baru pada Sabtu.

Melihat kepada situasi pasukan NSFC, Htet Aung dillihat tidak sabar untuk membuat penampilan sulungnya bersama pasukan tersebut.

“Saya teruja kerana mempunyai peluang ini untuk mempamerkan kemahiran saya dan saya berharap kami dapat mencapai tahap baharu serta mencapai matlamat kami,” kata Htet Aung, yang memulakan kariernya bersama Hanthawaddy United di Myanmar.

Sementara itu, jurulatih Kelantan United, Ailton Silva berharap pasukannya dapat memperoleh keputusan yang baik menentang NSFC walaupun berdepan cabaran dua pemain import baharu mereka.

“Saya menuntut lebih konsisten daripada pemain saya dan perlawanan ini akan menjadi ujian besar kerana Negri akan bermain dengan dua import baharu," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram