'Macam mana nak datang sokong?' fans Jang mengamuk terima berita penghijrahan Levy Madinda


  • Podium
  • Jumaat, 21 Jul 2023

Madinda (kanan) boleh dianggap sebagai tonggak skuad Jang dengan lima bantuan jaringan setakat ini. — Facebook/Negeri Sembilan FC

PENYOKONG Negeri Sembilan FC menerima satu berita cukup mengecewakan apabila kelab itu mengumumkan bahawa pemain tengah, Levy Madinda sudah meninggalkan pasukan berkenaan.

Dia yang dipinjamkan dari Johor Darul Takzim (JDT) sejak awal musim lalu hadir dengan reputasi cukup baik selepas mencipta nama di Sabah FC dan skuad Harimau Selatan.

Harapan tersebut direalisasikan pemain kebangsaan Gabon itu apabila dia tidak memerlukan masa lama untuk menyesuaikan diri dengan taktikal ketua jurulatih skuad Jang, K Devan.

Kebolehannya untuk membaca permainan membolehkannya mencipta lima bantuan jaringan serta menjaringkan satu gol dalam 15 penampilan dalam Liga Super.

Malah, gaya permainannya yang lincah setiap kali diturunkan mudah menjadikannya antara pemain kesayangan penyokong Negeri Sembilan FC, lebih-lebih lagi dalam musim yang suram buat mereka.

Tetapi, dengan dia sudah memilih untuk menyertai Persib Bandung yang beraksi dalam Liga 1 Indonesia, pengikut setia kelab hanya boleh melihat pemergiannya yang tidak direstui mereka.

Oleh itu, pengumuman mengenai penghijrahannya tersebut jelas mengakibatkan rasa kurang senang dengan tanda tanya mula timbul mengenai masa depan skuad Jang.

361582633_701068092033910_6627842229807403232_n

Tempoh pinjaman Madinda bersama skuad Jang ditamatkan lebih awal. Facebook/Negeri Sembilan FC

Ia berikutan perancangan pihak pengurusan yang tidak mempunyai hala tuju sebenar sehingga membolehkan Madinda pergi tanpa sebarang halangan.

Lebih memburukkan lagi keadaan, Negeri Sembilan FC kini hanya memiliki dua pemain import, iaitu Casagrande dan Herold Mark Goulon yang masing-masing sudah semakin berusia.

Untuk menzahirkan rasa kecewa itu, pengikut setia kelab mula mengeluarkan komen-komen yang mempersoalkan hala tuju serta pendirian pihak pengurusan.

Seorang penyokong, Izwan Mohd Noor berkata, masa depan pasukan semakin samar memandangkan mereka sering membuat perubahan, termasuk mengenai perkara-perkara kecil.

"Musim ni memang kelakar, macam mana nak penyokong datang beri sorakan? Semakin pening nak tahu hala tuju pasukan. Nak kata mahu menang piala, memang sudah semakin samarlah," tulisnya.

Pendirian itu turut dirasakan Noor Asmadi Osman yang melihat rombakan besar-besaran perlu dilakukan terhadap pihak pengurusan jika mahu perubahan dapat disaksikan.

"Jika penaung serta pegawai kelab masih sama dengan tiada jiwa untuk naikkan pasukan dan sekadar berlakon untuk penuhkan poket sendiri, dia ingat ada yang nak taja ke?

"Ada yang datang dari jauh dan keluarkan perbelanjaan sendiri untuk sokong Negeri Sembilan FC, tetapi dihidangkan setiap tahun oleh lakonan untuk kepuasan sendiri," tulisnya.

Bagi Azrul Haqemie pula, tiada kata-kata yang dapat diungkapkan bagi menceritakan rasa kecewanya terhadap skuad Jang, lebih-lebih lagi dengan pasukan itu semakin sukar untuk melakukan perubahan.

"Salam takziah, dah penat nak maki. Tidak mengapalah sekiranya memang sebegini jadinya. Sokong sahaja dan jangan pula kita salahkan pemain, mereka tidak salah.

"Yang salah pengurusan kerana mereka tiada hala tuju dan hanya melengkapkan jadual yang mana merupakan sasaran kelab untuk musim 2023," katanya.

Selepas mengharungi 17 aksi Liga Super, skuad Jang berada di tangga kesembilan hasil 20 mata yang dikutip dengan empat kemenangan direkodkan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram