Berita 'hoax', fans senarai faktor mengapa Mintah patut sarung jersi TRW


  • Podium
  • Rabu, 02 Ogos 2023

Mintah amat dikenali sebagai pemain yang suka bergurau bersama rakan sepasukan. — Facebook/ Terengganu FC.

KELANTAN FC pada Isnin mengumumkan kehadiran lima pemain import iaitu Ahmed Magdy, Youssef Ezzejjari, Alie Sesay, Dennis Buschening dan Aliakbar Ahmadi.

Kelantan turut mengumumkan penyertaan pemain dari Indonesia, iaitu Andik Vermansyah, namun memadam semula hantaran pengumuman tersebut dipercayai kerana terdapat masalah teknikal daripada pihak media The Red Warrior (TRW).

Lebih mengejutkan, seorang lagi pemain yang diumumkan ialah tunggak Terengganu FC iaitu Jordan Mintah yang dikatakan bakal masuk secara pinjaman daripada skuad Peteh.

Bagaimanapun, laman Instagram penyokong Terengganu11 tampil menafikan pemain berusia 28 tahun itu bakal berhijrah ke Kelantan, dengan memaklumkan bahawa ejen Mintah mengesahkan pemain itu kekal bersama Terengganu bagi mengharungi musim ini.

Sebelum itu, laman rasmi TRW memuat naik poster Mintah yang menyarung jersi Kelantan dengan ucapan selamat datang kepadanya.

Namun begitu, gambar berkenaan didapati telah dipadamkan daripada Facebook tersebut.

Tangkap layar InstaStory milik Mintah yang menafikan penyertaannya ke Kelantan FC. — Instagram Jordan Mintah

Malah, Mintah sendiri tampil menafikan dirinya menjadi sebahagian daripada skuad kendalian Alfredo Vera bagi menempuh baki saingan liga musim ini.

Perkara itu dibuat menerusi hantaran di InstaStory miliknya pada Selasa, yang mana dia memuat naik satu foto mengatakan bahawa poster penyertaannya ke TRW yang disebarkan sebelum ini adalah palsu.

Untuk rekod, pemain kelahiran Ghana itu setakat ini sudah mencetak lima gol bersama skuad utama Terengganu pada musim ini.

Pengumuman penghijrahan itu nyata mengundang kekecohan dalam kalangan peminat bola sepak tempatan, apatah lagi sebelum ini timbul khabar angin mengatakan dia bakal memperkuat serangan pasukan Kuching City FC atau Penang FC.

Dalam pada itu, walaupun sudah menafikan, masih ada beberapa peminat TRW yang berharap agar Mintah akan menyertai pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.

"Saya yakin TRW FC bukan saja-saja (letak poster), mungkin menghormati kontrak Mintah yang mungkin tamat minggu depan.

"Jadi, agak tak sopan kalau umum dulu, sebab tu gambar dah siap sedia, cuma waktu umum saja tak kena lagi," kata Azeel Ax.

Mintah ketika bersama rakan sepasukannya di Terengganu FC. — Facebook/ Terengganu FC.

Salah seorang penyokong, ZaskiaRahman turut berharap agar impiannya untuk menyaksikan Mintah bermain dengan Kelantan boleh menjadi kenyataan satu hari nanti.

"Dah lama nak tengok Mintah ni join Kelantan, dulu main sedap dengan Kuala Lumpur (KL) City FC. Boszam boleh cuba kalau dia tak dapat main dengan Terengganu," ujarnya.

Tambah seorang lagi penyokong, rata-rata peminat melihat kehadiran Mintah mampu menambah ketajaman dalam jentera serangan skuad TRW.

"Cantik juga tu kalau Mintah masuk (Kelantan), boleh tambah sengat di bahagian serangan, nak-nak pula Kelantan kini kan sudah ada dua pemain baharu iaitu Dennis Buschening dan Youssef Ezzejjari," tulis Khairul Fikri.

Untuk rekod, Kelantan FC kini ketika ini hanya menduduki tangga ke-14 Liga Super dengan hanya satu rekod kemenangan, dua keputusan seri dan 15 kekalahan selepas mengharungi 18 perlawanan.

Lebih parah kelab itu berisiko tersingkir ke Liga M3 untuk musim depan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram