KECEDERAAN yang dialami kepada penyerang kelahiran Brazil, Diogo Luis Santo dijangka akan memberi tekanan terhadap jentera serangan Johor Darul Takzim (JDT).
Meskipun sudah berusia 36 tahun, pemain berkenaan masih berjaya mencetak tujuh gol serta empat bantuan jaringan dalam hanya sembilan penampilan Liga Super.
Jadi, untuk menyelesaikan kebuntuan itu, pihak pengurusan kelab memilih untuk membawa masuk seorang pemain yang juga boleh dianggap sebagai seorang yang cukup berpengalaman.
Bekas penyerang Bangkok United, Heberty Fernandes disambar skuad Harimau Selatan berdasarkan rekodnya yang amat cemerlang ketika beraksi di Liga Pro Thailand.
Sepanjang lebih lima musim di negara terbabit, pemain yang kini berusia 34 tahun itu meraih 159 gol dalam 249 penampilan yang direkodkan.
Heberty merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Liga Thai. — Agensi
Oleh itu, kehadirannya tersebut dijangka akan meningkatkan lagi cengkaman JDT dalam arena bola sepak domestik di samping menjadi antara pencabar di peringkat Asia.
Pandangan terbabit berpunca daripada sejarah Liga Super yang sering menyaksikan seorang pemain mudah menyesuaikan diri sekiranya mereka berpengalaman beraksi di Thailand.
Diogo, Herlison Caion bersama Selangor FC dan Matheus Alves dengan Negeri Sembilan FC merupakan antara contoh terbaik dengan masing-masing mempunyai sumbangan terbaik buat pasukan tersendiri.
Tetapi, sekiranya pemerhatian lebih mendalam dibuat, tidak semua yang pernah beraksi di Negeri Gajah Putih dapat memberi impak seperti mana diharapkan.
Melihat kepada beberapa tahun kebelakangan ini, Majoriti mendapati terdapat tiga pemain yang boleh dianggap suam-suam kuku walaupun berpeluang menimba pengalaman di liga Thai.
1. Adisak Kraisorn (Terengganu FC)
Selepas kehilangan Tchetche Kipre dan Kpah Sherman ketika jendela perpindahan yang lalu, Terengganu FC memilih untuk membawa masuk pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn.
Keputusan tersebut dibuat memandangkan penyerang tersebut memiliki reputasi cukup baik, lebih-lebih lagi sekiranya dia menyarungkan jersi negaranya.
Di peringkat kelab pula, Adisak pernah mewakili beberapa pasukan dalam Liga Thai, seperti Muangthong United dan Port FC dengan masing-masing menerima satu suntikan dengan kelibatnya.
Jadi, tidak hairanlah apabila kehadirannya ke Terengganu FC sering digembar-gemburkan media tempatan Disember lalu, sekali gus menggembirakan rata-rata penyokong skuad Sang Penyu.
Adisak gagal memberikan sumbangan prolifik buat skuad Sang Penyu. — Facebook/Terengganu FC
Namun, setakat separuh musim, pemain berusia 32 tahun berkenaan hanya menjaringkan tiga gol Liga Super meskipun sering diberikan peluang untuk beraksi.
Pulangan kurang meyakinkan itu menyaksikan terdapat kekecewaan diluahkan pengikut fanatik yang mengharapkan agar pemenang Anugerah Kasut Emas Piala AFF 2018 itu, dilepaskan daripada pasukan.
Tetapi, hasrat terbabit seakan-akan sukar untuk direalisasikan memandangkan kelab Pantai Timur itu masih memerlukan pengalamannya di luar padang.
Selain itu, kehilangan Adisak akan menyebabkan ketua jurulatih Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner semakin buntu untuk mencari keserasian memandangkan mereka sudah pun kehilangan khidmat Jordan Mintah akibat ketegangan dalam hubungan antara kedua-dua pihak.
2. Michal Nguyen (Selangor FC)
Musim ini, Selangor FC memegang rekod pertahanan kedua terbaik selepas JDT dengan hanya 17 kali mereka dibolosi dalam saingan Liga Super.
Gandingan antara pemain import dan tempatan di benteng pertahanan merupakan resipi buat skuad Gergasi Merah yang mana membolehkan mereka kini berada di kedudukan kedua.
Namun, pasukan Lembah Klang itu juga pernah berdepan isu meruncing untuk memastikan gawang mereka sukar dibolosi beberapa tahun sebelum ini.
Masalah tersebut dapat disaksikan pada 2019 apabila mereka sering bergelut untuk mengekang percubaan pihak lawan, apatah lagi mencatatkan 'clean sheet' dalam Liga Super.
Nguyen ketika beraksi berdepan penyerang Terengganu FC, Tchetche Kipre pada 2019. — Agensi
Bagi penyokong Selangor FC, kehadiran pemain berdarah kacukan Vietnam-Republik Czech, Michal Nguyen merupakan antara punca benteng pertahanan pasukan terlalu goyah.
Dia yang dibawa masuk dari kelab Thailand, Air Force memberikan satu daya tarikan dengan skuad Gergasi Merah ketika itu masih bergelut untuk mencari rentak.
Oleh itu, selepas hanya meluangkan tempoh semusim yang tidak tentu bersama Selangor FC, Nguyen kemudiannya memilih untuk tidak menyambung kontrak dan menjadikannya berstatus ejen bebas untuk setahun.
Untuk rekod, pasukan berkenaan dibolosi sebanyak 35 kali dalam 22 perlawanan Liga Super, yang mana ia merupakan catatan tercorot berbanding enam kelab lain dalam saingan berkenaan.
3. Anmar Almubaraki (KDA FC)
Kedah Darul Aman (KDA) FC merupakan sebuah lagi pasukan yang gemar menggunakan import dengan pengalaman beraksi di mana-mana liga sekitar Asia Tenggara, lebih-lebih lagi di Thailand.
Bagaimanapun, tidak kesemua yang dibawa masuk memberikan pulangan yang setimpal dengan pemain kelahiran Iraq, Anmar Almubaraki menjadi salah satu contoh terbaik.
Dia yang dibawa masuk ketika jendela perpindahan 2019 dari Army United hadir untuk memberi satu suntikan berbeza buat skuad yang ketika itu di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak.
Selain pernah beraksi di Thailand, Anmar juga mempunyai satu rekod permainan yang cukup menarik dengan Belanda, Indonesia dan Turki pernah menyaksikan kebolehannya.
Kecederaan meranapkan karier Anmar bersama skuad Sang Kenari.
Tetapi, masalah kecederaan lutut menyebabkan pemain sayap kiri itu lebih kerap diletakkan di bangku simpanan sebelum kontraknya tamat pada pertengahan musim.
Kehilangannya itu bagaimanapun tidak dirasai skuad Sang Kenari memandangkan mereka menamatkan tahun tersebut dengan kejayaan Piala FA.
Berdasarkan rekod, Anmar hanya menjaringkan satu gol dalam enam penampilan Liga Super sepanjang keberadaannya bersama KDA FC yang mana boleh dianggap satu pulangan yang mengecewakan.
Kini, dia difahamkan tidak terikat dengan mana-mana pasukan dengan skuad Sang Kenari menjadi pasukan terakhir yang diwakilinya meskipun baru sahaja berusia 32 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram