MENJELANG hari-hari akhir jendela perpindahan Liga Super, beberapa kelab dilihat masih sibuk melakukan urusan pendaftaran pemain baharu untuk baki musim 2023.
Pasukan tercorot dalam carta liga, Kelantan FC juga tidak terkecuali terlibat sepanjang tempoh tersebut memandangkan sekatan perpindahan yang dikenakan sudah ditarik balik oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Pada Isnin, kelab Pantai Timur itu mengumumkan mereka sudah mendapatkan khidmat sekurang-kurangnya enam pemain import baharu di pelbagai posisi.
Kehadiran mereka tersebut dijangka meletakkan skuad The Red Warriors (TRW) kembali ke landasan, sekali gus mencapai cita-cita pihak pengurusan untuk menamatkan musim di kelompok 10 pasukan teratas.
Bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA FC), Dennis Buschening dan penjaga gol muda dari Iran, Aliakbar Ahmadi merupakan antara yang diperkenalkan dengan sumbangan masing-masing cukup didambakan.
Buschening diumumkan sebagai pemain baharu skuad TRW pada Isnin. — Facebook/TRW Kelantan FC
Namun, apa yang lebih menarik perhatian adalah pengumuman mengenai kehadiran dua pemain yang cukup sinonim dengan landskap bola sepak tanah air.
Penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah dan bekas pemain sayap Selangor FC, Andik Vermansyah merupakan dua nama yang lebih mencuri perhatian penyokong Kelantan FC.
Di samping memiliki pengalaman yang luas dalam Liga Super, kedua-dua rekrut baharu tersebut dikatakan mempunyai reputasi cukup megah dalam lipatan sejarah bola sepak negara.
Bagaimanapun, apa yang lebih menarik adalah apabila pengumuman Mintah serta Andik ditarik semula setelah beberapa minit ia tampil di laman media sosial rasmi kelab.
Keadaan berkenaan mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat setia Kelantan FC dengan kehadiran masing-masing, terutamanya Mintah cukup dinanti-nantikan.
Pengumuman mengenai kehadiran Mintah segera ditarik semula oleh pihak pengurusan TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC
Tetapi, jawapan kepada soalan yang kini bertebaran di media sosial itu seakan-akan dimiliki laman Facebook yang diuruskan penyokong skuad Sang Penyu, Terengganu 11.
Dalam satu hantarannya baru-baru ini, dikatakan terdapatnya kesilapan mengenai pengumuman tersebut dengan wakil kepada pemain kelahiran Ghana berkenaan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
"Kami mendapat pengesahan dari ejen Jordan Mintah bahawa beliau masih kekal bersama Terengganu! Tak pasti jangan kongsi!" tulisnya.
Sebelum ini, pemain berkenaan turut dikaitkan dengan penghijrahan keluar dari skuad Sang Penyu dengan Penang FC dan Kuching City FC disebut-sebut sebagai destinasi terbaik buatnya.
Bagaimanapun, penyerang berusia 27 tahun terbabit memilih untuk kekal dengan Terengganu FC meskipun tempatnya dalam skuad utama sudah semakin samar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram