Borong sampai 6 import, fans TRW risau konsep gaji tertunggak belakang kira


  • Podium
  • Selasa, 01 Ogos 2023

Kelantan FC pada Isnin mengumumkan kehadiran beberapa import antaranya Ahmed Magdy, Youssef Ezzejjari, Alie Sesay, Dennis Buschening dan Aliakbar Ahmadi. — Facebook/TRW Kelantan FC

KELANTAN FC mengumumkan kehadiran lima pemain import iaitu Ahmed Magdy, Youssef Ezzejjari, Alie Sesay, Dennis Buschening dan Aliakbar Ahmadi.

Perkara itu dimaklumkan menerusi hantaran di laman Facebook rasmi TRW Kelantan FC pada Isnin.

Kelantan turut mengumumkan penyertaan pemain dari Indonesia, iaitu Andik Vermansyah, namun memadam semula hantaran pengumuman tersebut dipercayai kerana terdapat masalah teknikal daripada pihak media The Red Warrior (TRW).

Satu lagi pemain yang diumumkan ialah tunggak Terengganu FC iaitu Jordan Mintah yang difahamkan bakal masuk secara pinjaman daripada skuad Peteh.

Bagaimanapun, laman Instagram penyokong Terengganu11 tampil menafikan pemain berusia 28 tahun itu bakal berhijrah ke Kelantan, dengan memaklumkan bahawa ejen Mintah mengesahkan pemain itu kekal bersama Terengganu bagi mengharungi musim ini.

Kemasukan pemain-pemain bernama besar ke skuad Kijang Merah pada jendela perpindahan kedua mengundang persoalan tentang sejauh mana kemampuan kelab tersebut untuk membayar gaji mereka.

Jordan Mintah (kiri) dan Andik Vermansyah (kanan) antara pemain yang dikatakan akan menyertai Kelantan FC. — Facebook/TRW Kelantan FC

Ini selepas Kelantan FC terpalit dengan pelbagai isu dalaman termasuk kemelut kewangan hingga menyaksikan ramai pemain dan staf kejurulatihan antaranya, Carli de Murga, Ismahil Akinade, Pol Corpas dan Rezal Zambery Yahya angkat kaki.

Justeru apabila pemain-pemain tersebut diumumkan sebagai muka baharu Kelantan FC, rata-rata penyokong berasakan kelab itu masih belum belajar daripada kesilapan kerana tetap berbelanja besar meskipun ada sebahagian tunggakan belum dilunaskan lagi.

Laman Twitter @TwtKelatefc menerusi ciapan pada Isnin berkata, pengurusan kelab diharapkan dapat membayar gaji pemain-pemain baharu tepat pada masanya.

Sementara itu, laman Instagram @palataobola pula turut mempersoalkan keputusan kelab yang berpangkalan di Pantai Timur itu membeli pemain import baharu sedangkan mereka masih berhutang bayaran gaji dengan sebahagian pemain.

"Borong dulu sebelum jendela perpindahan tutup. Gaji dua bulan belakang kira.

"Gaji belum dibayar, pemain lokal dua bulan, pemain import empat bulan," katanya.

Bagaimanapun, pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham sebelum ini memaklumkan, gaji pemain tempatan pasukan berkenaan sudah pun dilunaskan, hanya tinggal bayaran kepada pemain import sahaja.

"Gaji pemain tempatan semua dah bayar dah. Ni nak cari duit untuk bayar gaji import bulan lepas pula," katanya dalam satu hantaran di laman Facebook miliknya.

Kelantan FC yang menduduki tangga ke-14 Liga Super ketika ini berisiko tersingkir ke Liga M3 untuk musim depan. — Facebook/TRW Kelantan FC

Sebelum ini, bola sepak negara kecoh mengenai pendedahan pemain Kelantan FC berhubung tunggakan gaji bulan April yang tidak dibayar oleh pasukan itu.

Malah, Zamsaham juga dikritik oleh peminat bola sepak kerana 'menahan' gaji pemain dengan alasan mahu melihat pasukan melakar kemenangan dalam saingan liga.

Namun di sebalik masalah yang timbul, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengumumkan bahawa sekatan perpindahan pemain terhadap kelab Kelantan FC telah ditarik balik.

Ini bermakna pasukan Kelantan boleh mendaftarkan pemain pada jendela perpindahan kedua seperti mana diumumkan pada Isnin.

Untuk rekod, Kelantan FC kini ketika ini hanya menduduki tangga ke-14 Liga Super dengan hanya satu rekod kemenangan, dua keputusan seri dan 15 kekalahan selepas mengharungi 18 perlawanan, dan lebih parah kelab itu berisiko tersingkir ke Liga M3 untuk musim depan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram