JOHOR Darul Takzim (JDT) terus mengekalkan momentum mereka sebagai pendahulu Liga Super apabila merekodkan kemenangan ke-18 selepas menewaskan Selangor FC dengan keputusan 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Sabtu.
JDT berjaya memecah kebuntuan gol pada minit ke-79 menerusi jaringan Heberty Fernandes selepas Bergson da Silva dirantai kemas oleh Safuwan Baharudin dalam perlawanan itu.
Bergson hanya berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan penalti pada masa tambahan permainan selepas dia dijatuhkan oleh pertahanan muda Selangor, Harith Haikal.
Dalam perlawanan itu Bergson sukar mencari ruang untuk melepaskan rembatan selepas dia dikawal ketat oleh benteng pertahanan Selangor yang mana semua mengetahui penyerang berusia 32 tahun itu sangat berbisa di hadapan gawang gol lawan.
Namun itu bukan perlawanan pertama Bergson dikawal ketat dan gagal menjaringkan gol seperti rutin biasanya dalam perlawanan.
Majoriti senaraikan tiga pemain pertahanan yang pernah merantai pergerakan Bergson sehingga gagal menjaringkan gol:
Terengganu merupakan pasukan pertama De Murga di dalam Liga Malaysia.
1. Carli de Murga
Bekas kapten Terengganu FC (TFC), Carli de Murga pernah merantai rapat pergerakan Bergson dalam perlawanan Liga Super 2021 yang mana menyaksikan Sang Penyu berjaya menumpaskan JDT di halaman sendiri ketika itu.
Walaupun dalam perlawanan itu JDT mengasak pertahanan TFC dengan bertubi-tubi, tetapi Bergson gagal menjaringkan gol selepas kecemerlangan Suhaimi Husin menangkis segala percubaan.
Kecemerlangan kepimpinan De Murga di benteng pertahanan TFC berjaya menarik minat JDT untuk membawanya ke pasukan selatan tanah air itu pada musim berikutnya.
Musim ini De Murga menyertai Kelantan FC namun memilih untuk menamatkan kontrak dengan lebih awal selepas berlaku masalah dalaman serta melibatkan pembayaran gaji.
Giancarlo ketika aksi menentang JDT dalam final Piala Malaysia 2021. — Bernama
2. Giancarlo Gallifuoco
Giancarlo Gallifuoco antara watak utama Kuala Lumpur City FC (KL City) sejak 2021 sehingga musim ini.
Giancarlo pernah menjadi antara salah seorang pertahanan yang berjaya menjaga Bergson dalam perlawanan final Piala Malaysia 2021 yang menyaksikan KL City berjaya menewaskan JDT.
Dalam perlawanan itu percubaan Bergson serta pergerakannya seperti tidak menjadi yang mana Giancarlo cemerlang membantu benteng pertahanan KL City.
Selepas daripada perlawanan itu, KL City tidak lagi mampu menghentikan dominasi Harimau Selatan daripada terus menewaskan mereka.
Scholz musim ini masih beraksi bersama Urawa Reds. — Agensi
3. Alexander Scholz
Alexander Scholz merupakan seorang pemain pertahanan Urawa Reds yang berjaya mengawal pergerakan Bergson semasa perlawanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) pada 2022.
JDT yang tewas dalam perlawanan itu dengan keputusan 0-5 gagal menembusi pertahanan Urawa Reds yang dibarisi Scholz serta rakan sepasukan lain.
Ketangkasan pertahanan Urawa itu memaksa Bergson untuk banyak melakukan percubaan jarak jauh namun ketangkasan penjaga gol lawan dapat menghalang kesemua cubaan.
Kekalahan JDT itu menghentikan perjalanan Harimau Selatan untuk terus mara ke pusingan suku akhir ACL itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram