LIGA Super musim 2023 meneruskan aksi penuh mendebarkan daripada 14 kelab bola sepak tempatan yang bersaing bagi merebut gelaran juara kejohanan domestik tersebut.
Terus dalam misi mempertahankan gelaran juara, Johor Darul Takzim (JDT) kekal mengungguli carta liga tanpa digugat oleh mana-mana kelab bola sepak tempatan dengan rekod tanpa kalah untuk 17 perlawanan setakat ini.
Manakala pasukan Selangor FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Sri Pahang FC, dan Sabah FC yang kekal berada di tangga teratas Liga Super musim ini, walaupun ada kalanya kedudukan mereka saling beralih.
Selepas debaran aksi Terengganu FC menentang Negeri Sembilan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus, Terengganu dan pertembungan Kelantan United FC (KUFC) dengan PDRM FC di Stadium Sultan Mohammad IV di Kota Bharu, Kelantan, tiba masanya 10 pasukan bola sepak tempatan pula bersaing menerusi 5 perlawanan pada hujung minggu ini.
Berikut merupakan ramalan daripada tiga wartawan Majoriti iaitu Zikry Marzuki, Rahmi Jumriati Jono dan Nabil Aiman Nor Azwan berkenaan kelima-lima perlawanan tersebut:
Aksi KL City FC menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada Sabtu lalu. — Facebook/ KL City FC
1. KL City FC vs Kelantan FC
Zikry — Kehilangan Bojan tidak jejas persembahan skuad Warga Kota
"Meskipun baru sahaja kehilangan Bojan Hodak yang mencari angin baharu di Indonesia, kehadiran Nenad Baćina tidak akan memberi sebarang perubahan ketara memandangkan Baćina pernah bergelar pembantu kepada Bojan sebelum ini.
"Jaringan daripada Romel Morales dan Zhafri Yahya dijangka akan mudah memberikan tiga mata mudah buat KL City FC di laman sendiri."
Rahmi dan Nabil — Debut Nenad Baćina kendali KL City bakal tumbangkan TRW
"The Red Warrior (TRW) kebelakangan ini turun dengan pemain dari skuad simpanan B-23 berikutan ramai pemain senior Kelantan memilih untuk berhijrah ke pasukan lain selepas menghadapi isu tunggakan gaji.
"Dibawah kendalian baharu iaitu Nenad Baćina, KL diyakini menang 2-0 menewaskan Kelantan dan masih berada di tangan pengendali yang tepat kerana bekas ketua jurulatih JDT II itu bukan individu asing dalam dunia kejurulatihan tanah air."
Ketiadaan Lee Tuck tidak mengganggu taktikal KDA FC menentang Kuching City FC pada Sabtu. — Facebook/ KDA FC
2. Kuching City FC vs KDA FC
Zikry — Sang Kenari tetap maju ke depan tanpa Lee Tuck
"Kehilangan Lee Tuck yang mengumumkan pemergiannya dilihat akan memberi kejutan, lebih-lebih lagi apabila pemain naturalisasi negara itu boleh dianggap sebagai tonggak pasukan. Tapi kemenangan dilihat berpihak kepada KDA FC yang akan memastikan kedudukan mereka dalam carta liga semakin kukuh.
"Dua gol daripada Ifedayo Olusegun dan Amirbek Juraboev akan menyaksikan Kuching City sekali lagi kecewa meskipun beraksi di hadapan penyokong sendiri."
Rahmi dan Nabil — KDA FC dijangka teruskan kemenangan tiga kali berturut-turut menentang Kuching City
"Sejak menang 2-0 ke atas PDRM pada 9 Jun lalu, Kedah masih merekodkan rekod tanpa kalah dalam dua perlawanan berturut-turut dan rentak kemenangan tersebut dijangka akan diteruskan lagi pada aksi menentang Kuching City.
"Selepas mencetak gol dalam dua aksi sebelum ini, penyerang import, Ifedayo dijangka sekali lagi menggembirakan penyokong Sang Kenari dengan menyumbangkan jaringan gol pada aksi menentang Kuching City."
Aksi Selangor FC menentang Sabah FC di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad. — Facebook/ Selangor FC
3. JDT vs Selangor FC
Zikry — Ketiadaan Faisal Halim menduga kreativiti Cheng Hoe cipta keajaiban menentang JDT
"Terdapat kemungkinan besar skuad Gergasi Merah akan pulang dengan kehampaan berdasarkan dua perlawanan terakhir antara JDT dan Selangor FC.
"Melihat kepada prestasi masing-masing, jaringan Bergson, Leandro Velazquez dan Corbin Ong akan memastikan rekod cemerlang skuad Harimau Selatan di peringkat domestik terus kekal. Tapi, Tan Cheng Hoe dan barisan kejurulatihannya diduga mencipta kejutan selepas kehilangan tonggak pasukan, Faisal Halim akan menyukarkan lagi usaha mereka."
Rahmi dan Nabil — Kehilangan dua tonggak Selangor FC punca JDT bakal menang besar di SSI
"Selangor FC difahamkan akan kehilangan dua tonggak pada aksi menentang JDT di Stadium Sultan Ibrahim (SSI" iaitu Faisal Halim kerana digantung perlawanan oleh FAM dan Khuzaimi Piee pula bergelut dengan masalah kecederaan yang akan merencatkan rancangan taktikal Tan Cheng Hoe dari segi serangan mahupun pertahanan.
"JDT berpeluang menang besar dengan kehadiran penyerang baharu Heberty Fernandes mungkin akan menjadi taruhan utama Esteban Solari di bahagian depan bagi menggantikan Fernando Forestieri.
Aksi Sri Pahang menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Sabah pada pertengahan Julai lalu. — Facebook/ Sri Pahang FC
4. Sri Pahang vs Perak
Zikry — Khidmat penyerang berbisa Tok Gajah ditagih tumbangkan The Bos Gaurus
"Kemenangan ke atas Kuching City FC baru-baru ini dilihat akan menjadi tonik buat skuad The Bos Gaurus (TBG) untuk bangkit ke kedudukan lebih baik dalam carta Liga Super.
"Pengendali skuad Tok Gajah, Fandi Ahmad pasti akan mengharapkan sentuhan daripada penyerang berbisa, Kpah Sherman dan beberapa pemain lain, termasuk Sergio Aguero dan Nor Azam Azih untuk menggegarkan gawang Perak FC.
"Perlawanan berkenaan dijangka akan berakhir dengan keputusan 3-1 hasil dua gol daripada Sherman dan Stefano Brundo sementara Perak FC akan mendapatkan jaringan saguhati menerusi Seo Seon-ung."
Rahmi dan Nabil — Sri Pahang bakal benamkan TBG 3-1 di laman sendiri
"Skuad kendalian Fandi Ahmad, Sri Pahang diramal menang 3-1 ke atas Perak FC dengan jaringan dari Kpah Sherman, Stefano Brundo akan menjaring gol kemenangan untuk Tok Gajah pada aksi di Stadium Darul Makmur, manakala, satu jaringan sagu hati buat The Bos Gaurus (TBG) akan dicetak oleh Luka Milunovic.
"Sri Pahang yang baru tewas besar di tangan Sabah pada 15 Julai lalu pastinya berkobar-kobar untuk mendapatkan tiga mata penuh dan kembali mengukuhkan kedudukan mereka bagi saingan Liga Super."
Pemain-pemain Sabah FC semasa sesi latihan persiapan menentang Penang FC pada Ahad. — Facebook/Sabah Football Club
5. Penang FC vs Sabah FC
Zikry — Prestasi Sang Badak tidak konsisten, namun boleh menang tipis menentang Penang FC
"Pertemuan antara Sabah FC dan Penang FC merupakan aksi yang paling sukar untuk dijangka disebabkan prestasi tidak menentu skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee semakin hilang cengkaman dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super.
"Bagaimanapun, skuad Harimau Kumbang juga mempunyai masalah tersendiri apabila mereka terlalu mudah keciciran mata setakat separuh musim ini.
"Tetapi, kemungkinan besar skuad Sang Badak mampu meraih kemenangan tipis 1-0 hasil jaringan Darren Lok, sekali gus menjarakkan mereka dengan Kuala Lumpur City di tangga keenam."
Rahmi dan Nabil — Ramon Machado bakal jaringkan satu gol buat Sang Badak
"Walaupun Penang FC bertanding di laman sendiri, namun Harimau Kumbang dijangka tewas 1-0 di tangan Sabah FC hasil jaringan penyerang import, Ramon Machado de Macedo." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram