MASALAH dalaman berkaitan isu tunggakan gaji yang dihadapi oleh Kelantan FC akhirnya menemukan titik penamat seperti yang dijelaskan pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman.
Baru-baru ini, menerusi kenyataan di laman Facebook, Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham sudah melangsaikan hutang yang menjadi masalah utama kelab tersebut sejak kebelakangan ini.
Pasukan yang sering dikaitkan dengan isu tunggakan gaji tersebut menyebabkan beberapa pemain termasuk staf Kelantan FC meninggalkan kelab tersebut.
Zamsaham mengesahkan tiada lagi tunggakan gaji selepas semuanya sudah dilunaskan minggu lepas.
"Gaji dah bayar minggu lepas. EPF (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) pun bayar. Kalau rezeki saya lebih, tentu saya akan bayar tepat pada masanya. Saya tak mahu lewat-lewat sebenarnya," jelasnya.
Namun pada 16 Julai, bekas ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya membangkitkan persoalan mengenai perkara tersebut apabila menaik status seolah-olah mahu memaklumkan dirinya masih belum menerima baki bayaran seperti yang didakwa Zamsaham.
Tangkap layar Insta Story milik Rezal Zambery. — Instagram/rezalzambery23
Sorry!! Saya belum terima lagi..kan ada balance yang perlu dijelaskan..#masihberhutang..Still Silent," katanya dalam hantaran tersebut.
Rezal tidak menyatakan hantarannya itu ada kaitan dengan isu tunggakkan gaji atau hal lain tetapi dipercayai ditujukan kepada pihak yang berhutang dengannya.
Namun pada Selasa, Rezal sekali lagi menaikkan hantaran yang memaklumkan isu tunggakkan itu sudah selesai.
"Alhamdullilah.. Segala telah selesai. Terima kasih saya ucapkan kepada pengurusan TRW dan selamat maju jaya," katanya dalam hantaran tersebut.
Dalam hantaran tersebut mengatakan bahawa sudah pasti masalah yang dibangkitkan olehnya sebelum ini mempunyai kaitan dengan isu tunggakan gaji daripada pihak pengurusan Kelantan FC.
Selepas sah meninggalkan Kelantan FC atas persetujuan bersama pihak pengurusan kelab, Rezal Zambery difahamkan menjadi tulang belakang kepada Kelantan United FC bagi memperkuatkan barisan kejurulatihan pasukan tersebut.
Rezal yang pernah memegang status sebagai penolong jurulatih The Red Warriors (TRW) itu sah meninggalkan Kelantan FC pada 6 Julai lalu.
Untuk rekod, bekas pemain Johor FA antara tonggak penting yang membantu TRW bergelar naib juara Liga Perdana 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram