'Work in progress', ejen beri hint ada nafas baharu untuk Kelantan


  • Podium
  • Isnin, 31 Jul 2023

Sebahagian aksi pemain Kelantan berdepan The City Boys. — Facebook/MFL

KELANTAN FC terpaksa berputih mata selepas menyaksikan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) berpesta gol di laman sendiri pada Sabtu.

Kemenangan yang disaksikan di Stadium Cheras, Kuala Lumpur itu memberi kelegaan kepada penyokong Warga Kota yang turut hadir memberikan sokongan kepada pasukan mereka selepas meraih tiga mata penuh.

Difahamkan, kekalahan The Red Warriors (TRW) di laman pihak lawan itu disebabkan oleh keputusan berani yang diambil oleh pengendali Kelantan FC, Angel Alfredo Vera yang mempertaruhkan barisan pemain muda pasukan itu.

Ketua Jurulatih, Alfredo Vera terpaksa meletakkan harapan cukup tinggi terhadap skuad muda yang tidak mempunyai pengalaman cukup dalam Liga Super.

WhatsApp Image 2023-07-31 at 16.13.26

Tangkap layar hantaran tersebut. — Instagram/shekoo1989

Menerusi satu hantaran di laman Instagram ejen pemain bola sepak Kelantan FC, Shekoo Stars Agency seolah-olah memberi khabar baik kepada penyokong pasukan yang berpangkalan di Pantai Timur itu.

"Kelantan FC fans. I gave a good gifts for you all, (kepada penyokong Kelantan, saya ada berita baik untuk anda semua).

"Work in progress, (sedang dalam perancangan)," katanya dalam hantaran tersebut.

Difahamkan, hantaran tersebut boleh merujuk kepada perpindahan pemain baharu berikutan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) baru sahaja menarik balik sekatan perpindahan pemain bagi pasukan Kelantan FC.

Terdahulu, MFL menghukum Kelantan FC susulan kegagalan menghantar bukti bayaran caruman (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), selain tunggakan gaji pemain serta pegawai, bagi tempoh April dan Mei lepas sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 28 dan 30 Jun lepas.

Kelantan kini bebas membawa masuk pemain bagi memperkuat pasukan untuk mengharungi baki saingan Liga Super dan kejohanan Piala Malaysia 2023 yang akan berlangsung tidak lama lagi

Bagaimanapun, ejen tersebut tidak mendedahkan sama ada membawa pemain baharu ataupun barisan kejurulatihan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram