'DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan', pepatah ini sesuai menggambarkan keazaman pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman untuk kekal mencapai sasaran sekurang-kurangnya menduduki tangga 10 terbaik bagi saingan Liga Super musim ini.
Walaupun skuad The Red Warriors (TRW) musim ini ditimpa pelbagai kemelut dalaman sehingga memaksa beberapa pemain utama mereka memutuskan untuk berhijrah ke pasukan lain namun ia tidak mematahkan semangat Norizam untuk meneruskan usaha bagi mencapai sasaran yang sudah ditetapkannya.
Norizam ataupun lebih dikenali dengan sapaan Zamsaham itu memaklumkan bahawa pihaknya dalam proses untuk menambah beberapa muka baharu pada jendela perpindahan kedua musim ini bagi memastikan TRW berupaya menamatkan baki saingan Liga Super dalam kelompok 10 terbaik.
Difahamkan antara pemain yang bakal dipinang pihak pengurusan Kelantan ialah bekas penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Dennis Buschening dan dia akan mengisi slot pemain import kuota Asean berikutan merupakan pemain warisan Thailand.
Pasukan berpangkalan di Pantai Timur tanah air difahamkan sedang dalam proses perbincangan untuk membawa masuk pemain kelahiran Jerman tersebut yang mana pernah memberikan khidmatnya bersama skuad Sabah (2020), sebelum menyertai skuad UiTM FC pada musim 2021.
Selain Kedah, Dennis juga pernah memberi khidmatnya bersama Sabah dan UiTM FC. — Facebook/KDAFC
"Ada beberapa bahagian yang jurulatih dah bincang dengan saya. Antaranya bahagian pertahanan dan penyerang juga.
"Ada pemain yang baru nak bermain di Liga Malaysia (Liga M. Ada juga pemain yang pernah bermain dengan Liga M iaitu Dennis sebelum ini pernah beraksi dengan Kedah. Jadi mungkin Denins akan masuk Kelantan FC, " katanya memetik temu bual dari RTM.
Dennis dikenali sebagai import berkaki kaca dalam kalangan penyokong Sang Kenari susulan hanya sempat beraksi dalam dua perlawanan Liga Super dan mencetak satu gol bersama Kedah sebelum dia direhatkan selama enam bulan kerana perlu menjalani pembedahan akibat kecederaan.
Pada awal musim ini, pemain berusia 32 tahun itu beraksi bersama kelab liga Divisyen Tiga Thailand, MH Nakhonsi City FC namun hanya tampil dalam empat perlawanan dan rekod kurang cemerlang tersebut boleh menimbulkan kegusaran dalam kalangan penyokong TRW.
Sebelum ini, Kelantan turut dikaitkan dengan pemain import Poland, Chris Jastrzembski itu selepas bek tengah itu memberikan kata-kata semangat kepada Kelantan ketika aksi seri 2-2 berdepan Kuching City bagi aksi Liga Super ke-17.
Bakal pertahanan TRW itu pernah membantu skuad muda Poland mengharungi Kelayakan Euro bawah 19 tahun dan beraksi dalam beberapa perlawanan di peringkat bawah 19 tahun negara kelahirannya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram