KEMASUKAN semula pemain tengah Perak FC, Firdaus Saiyadi ke skuad Seladang pada jendela perpindahan kedua menyaksikan tumpuan penonton kini tertumpu kepadanya.
Bakal berkunjung ke Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang untuk bertemu Sri Pahang FC pada Ahad, pemain tengah itu yang sebelum ini dipinjamkan ke KL City FC dijangka akan diturunkan dalam senarai kesebelasan utama pasukan.
Kedatangannya mendapat perhatian sebilangan penyokong The Bos Gaurus (TBG) yang melihat fungsinya selaku enjin baharu Perak pada perlawanan berikutnya nanti.
Kurang mendapat tempat di skuad Warga Kota, Firdaus hanya memiliki tiga penampilan di pasukan tersebut dengan selebihnya hanya memanaskan kerusi bangku simpanan.
Berusia 26 tahun dan memiliki kredibiliti selaku pemain tengah, hantaran serta kelicikannya amat ditagih untuk membantu rakan sepasukan memburu jaringan awal dalam pertemuan menentang skuad Tok Gajah.
Firdaus Saiyadi ketika bersama Perak pada musim 2020. — Facebook/PerakFC
Dalam pada kebangkitan skuad Seladang yang semakin mendapat perhatian, peminat juga melihat seorang lagi pemain yang disifatkan sebagai prospek untuk dibawa masuk semula ke Perak sama seperti Firdaus.
Pemain kelahiran Perak, J. Partiban disebut sebagai individu berpotensi selain Firdaus yang terlebih dahulu mengesahkan tempatnya di pangkuan skuad Seladang.
Turut mewakili pasukan Warga Kota, Partiban berkebolehan untuk diturunkan dalam tiga posisi berlainan di kiri ataupun kanan sayap serta tengah menyerang di bahagian kiri bersama Firdaus Saiyadi.
Berketinggian 1.75 meter, Partiban merupakan pemain kidal yang memiliki sepakan padu dari jarak jauh yang mampu menjadi senjata anak-anak buah Yusri Che Lah kelak.
Meskipun sekadar memiliki lima penampilan keseluruhan bersama KL City, keupayaan pemain itu diyakini mampu dibuktikan sekiranya peluang diberikan kepadanya khususnya minit permainan yang lebih.
J. Partiban beraksi bersama pasukan KL City FC pada saingan musim ini. — Facebook/KLCity
Penyokong turut merasakan individu itu perlu dikembalikan ke pangkuan Perak agar bakatnya tidak disia-siakan.
"Sayang kalau lepaskan Partiban ini, dia boleh main dan ada kelajuan di bahagian sayap, cuma perlu pendedahan lebih mesti boleh jaringkan gol," kata Asyraf Sani.
"Daripada biar peram di KL, lebih baik bawa balik ke Perak dapat juga berbakti kepada negeri kelahiran, lagi pun dia ada kelebihan yang boleh digunakan Yusri Che Lah," ujar Afiq Zailani.
"Kalau ada Firdaus dan Partiban, mungkin jurulatih ada lebih banyak pilihan untuk diturunkan, baru Perak terus peroleh kemenangan nanti lawan Pahang," jelas Ghazali Amar.
Dalam pada itu, aksi bertemu Tok Gajah akan bermula pada pukul 5.30 petang dan ia pastinya satu cabaran buat kedua-dua pasukan bermain dalam cuaca panas. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram