[VIDEO] Berentap dalam dan luar padang, 5 kontroversi pergaduhan 'budak nakal' Selangor di saingan Liga M


  • Podium
  • Khamis, 27 Jul 2023

Faisal Halim kerap terpalit dengan isu kekecohan di saingan Liga M.

PENYERANG Selangor FC, Faisal Halim atau lebih dikenali sebagai Mickey tidak pernah putus daripada isu kontroversi yang melanda pemain kelahiran Pulau Pinang tersebut.

Berperwatakan lincah dan ceria di atas padang, kehadiran Faisal Halim dalam pasukan Selangor sentiasa menjadi tumpuan bukan sahaja bagi penyokong tuan rumah malah pasukan lawan juga turut ternanti-nantikan kelibat individu itu.

Meskipun cemerlang selaku penjaring utama Gergasi Merah, Faisal Halim juga tidak lekang daripada insiden pergaduhan sesama pemain lain yang juga menjadi salah satu tarikan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Bagi penyokong setia bola sepak tanah air, ia bukanlah satu perkara yang baharu selepas Faisal sudah beberapa kali terlibat dengan insiden sama.

Berikut Majoriti menyenaraikan lima pemain yang pernah terlibat dengan momen hangat bersama pemain licik itu sehingga menjadi bahan bualan ramai.

1. Azrif Nasrulhaq (Sri Pahang FC)

Mickey pernah terpalit dengan isu kontroversi ketika bertemu Sri Pahang FC.

Perlawanan yang sememangnya dijangka hangat itu dimulakan dengan pergelutan antara pemain berkenaan dengan bek kanan pinjaman Tok Gajah, Azrif Nasrulhaq.

gaga

Azrif (kiri) dan Faisal pernah terlibat pergaduhan dalam saingan Liga Super.

Keadaan agak tegang apabila Azrif dilihat mencekak leher Faisal Halim namun, keadaan berjaya dikawal oleh pengadil perlawanan tanpa sebarang layanan kad diberikan kepada kedua-dua pemain.

2. Mamadou Samassa (Sri Pahang FC)

Satu lagi insiden hangat turut dicatatkan ketika bertemu Sri Pahang FC pada musim lalu yang menyaksikan Faisal yang ketika itu mewakili Terengganu FC (TFC), hampir 'dikerjakan' bekas penjaga gawang Tok Gajah, Mamadou Samassa.

Insiden itu berlaku selepas pemain itu meledak gol kedua TFC dengan menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80.

Pemain kebangsaan itu dilihat meraikan jaringan dengan menjatuhkan badan di depan gawang Sri Pahang seolah-olah meniru aksi penjaga gol import terbabit.

Tindakan itu mencetuskan kemarahan Samassa yang dilihat meluru ke arah Faisal, namun beberapa pemain TFC dan pengadil perlawanan sempat menahan penjaga gol tinggi lampai itu.

3. Safiq Rahim (JDT)

Dalam aksi separuh akhir Piala Malaysia 2021, Terengganu FC diundi bersama gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) yang mana ia cukup mendebarkan buat kedua-dua pasukan.

Selepas terikat 1-1 pada perlawanan separuh masa pertama, skuad Harimau Selatan mendahului dengan tiga gol tanpa balasan ketika beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.

Meskipun kelebihan berpihak kepada pasukan Selatan tanah air itu, pergerakan yang dipamerkan Faisal menyebabkan pemain tengah lawan, Safiq Rahim dilayangkan kad merah.

Ia tercetus selepas terjahan keras Safiq ke atas Faisal pada minit ke-15 yang sekali gus mengundang provokasi bekas penyerang TFC itu sehingga menyaksikan dia ditanduk di bahagian kepala.

Namun, kedua-dua pemain bagaimanapun tidak menunggu lama untuk saling memaafkan, yang mana membuktikan bahawa mereka memiliki tahap profesionalisme cukup tinggi.

4. Hadin Azman (KL City FC)

Pertemuan TFC dan KL City FC pada saingan Liga Super musim 2021 turut meraih perhatian ramai susulan kekasaran yang melibatkan Hadin Azman dan Faisal Halim.

Berpunca daripada situasi merebut bola, Faisal tampak 'bergasak' dengan Hadin Azman sehingga pemain KL City FC itu tiba-tiba mencekak jersi Faisal.

Insiden menjadi sedikit panas sehingga kedua-dua pemain terpaksa dileraikan sebelum mereka dilayangkan kad kuning.

5. Azamuddin Akil (KDA FC)

Pemain tengah kelahiran Pahang, Azamuddin Akil merupakan seorang yang cukup terkenal dalam arena bola sepak tempatan apabila pernah menyertai beberapa pasukan Liga Super, termasuk JDT dan Kelantan FC.

Tetapi, sepanjang berada bersama kelab Utara tanah air itu, Azamuddin juga tidak pernah lekang dengan kontroversi, termasuk ketika bertemu Faisal Halim.

Dalam satu aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah pada 2021, Faisal yang ketika itu masih bersama Terengganu FC beraksi dengan cukup baik bagi membantu pasukannya mendahului 2-1.

Berdepan dengan tekanan dan asakan demi asakan, Azamuddin akhirnya 'termakan' provokasi yang dilakukan Faisal ketika saingan di separuh masa kedua menuju ke penamat.

Pada minit ke-90, pemain sayap itu dilihat cuba untuk mendapatkan bola daripada Azamuddin, namun terjahan sedikit lewat menyaksikan pemain senior berkenaan jatuh sambil memegang buku lalinya.

Berang akan situasi tersebut, pemain tengah yang juga dikenali sebagai Alex itu tidak berfikir panjang sebelum mencekak leher baju Faisal dengan tangan kanannya dilihat sedia untuk melepaskan tumbukan.

Namun perbalahan itu berjaya dihentikan sebaik pengadil perlawanan dan rakan sepasukan yang lain tampil menyelamatkan situasi tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram