ISU air kotor ataupun 'karat' sudah menjadi kelaziman buat masyarakat di Kelantan dengan masalah itu kian berlarutan sejak berzaman lamanya.
Namun, menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang bakal bermula pada 12 Ogos depan, detik itu digunakan sebaiknya oleh penduduk yang tampil dengan masalah dihadapi bagi meraih perhatian pihak berwajib.
Terbaharu, situasi itu dikongsikan individu lelaki dipercayai salah seorang doktor kesihatan di negeri terbabit yang menyampaikan jemputan jamuan kepada pihak Menteri Besar serta Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).
Jemputan itu dibuat dalam bentuk pesanan sinis terhadap pihak terbabit yang dikatakan tidak memantau dan menyelesaikan isu air kotor yang membelenggu kehidupan masyarakat di Kelantan.
"Hari ini kita buat air istimewa untuk rumah terbuka buat Menteri Besar di Kelantan, kita buat satu tangki untuk mereka semua datang beramai-ramai.
"Kalau rumah tertutup sekali pun, sila datang sebab ini memang teh 'kaww' punya, jadi datang la semuanya," ujarnya.
Dalam pada itu, satu perkongsian lain di laman media turut memaparkan air di sinki tandas yang turut kotor sekali gus menyebabkan baju yang dibasuh bertukar warna coklat kekuningan.
Keadaan baju dan sinki tandas yang kotor akibat bekalan air karat diterima.
Mengharapkan agar ada tindakan segera oleh pihak berwajib, individu itu nyata kecewa dengan isu berulang dihadapi penduduk khususnya di Kota Bharu.
Sehingga kini masih belum ada sebarang kenyataan daripada kerajaan ataupun AKSB berhubung video tular tersebut dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan isu tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram