KETIADAAN penyerang berbisa Fernando Forestieri dalam kesebelasan utama Johor Darul Takzim (JDT) menentang Selangor FC nyata mengundang masalah besar buat Harimau Selatan.
Meletakkan Bergson da Silva selaku penyerang utama di bahagian hadapan, dilihat sedikit merencatkan persembahan anak-anak buah Esteban Solari apabila keputusan seri tanpa jaringan kekal di separuh masa pertama.
JDT yang sebelum ini cemerlang bersama penyerang kelahiran Argentina itu dikatakan tidak beraksi seperti biasa dengan tempoh perlawanan itu kelihatan agak perlahan dari kebiasaan.
Atas kertas, JDT yang beraksi di hadapan penyokong sendiri pastinya memiliki kelebihan dengan rekod lalu turut menyaksikan kemenangan berpihak kepada pasukan tersebut.
JDT gagal memecah kebuntuan hingga separuh masa pertama apabila kekal seri tanpa jaringan.
Gol yang dicari terhasil menerusi pemain import baharu JDT, Heberty Fernandes pada minit ke-78 menerusi rembatan padu menewaskan penjaga gol Selangor.
Meskipun ia merupakan penampilan pertamanya bersama Harimau Selatan, pemain itu tidak menunggu lama untuk meraih sokongan serta kepercayaan penyokong apabila muncul wira di hadapan penyokong sendiri.
Bermula detik itu, JDT dilihat semakin ghairah untuk melakukan asakan demi asakan ke arah pasukan lawan sehingga Bergson da Silva kemudiannya berjaya mencatatkan jaringan menerusi sepakan penalti pada masa tambahan separuh masa kedua.
Namun, dengan rentak yang agak perlahan serta percubaan yang gagal disempurnakan sebaiknya oleh Bergson da Silva khususnya di separuh masa pertama, penyokong mula melihat ia sebagai titik kelemahan yang perlu diperbaiki JDT untuk terus kekal konsisten di saingan akan datang.
"Nampak gaya kalau JDT tak ada Forestieri memang akan terkesan daripada segi penyudah tajam, Bergson bagus cuma banyak sia-siakan peluang terhidang," kata Amar Haikal.
"Main tak macam selalu, tumpul sikit JDT malam ini sebab Forestieri tak ada dalam kesebelasan utama, agak terkesan juga sampai separuh masa pertama terikat kosong sama," ujar Daniel Hassan.
"Selangor dah bongkar kelemahan JDT yang terlalu mengharapkan serangan Forestieri sebelum ini, kalau tak ada Heberty Fernandes yang jaringkan gol mungkin kita akan seri tanpa jaringan perlawanan malam ini," jelas Araash Zaii.
"Kredit perlu diberikan kepada Heberty Fernandes yang sumbat gol lawan Selangor, kali pertama beraksi tapi tak kekok, cuma Bergson memang nampak kekurangan dia kebelakangan ini, bahaya kalau masih berterusan di Piala AFC nanti," tambah Muhd Fairul.
JDT walau bagaimanapun masih kekal selaku pendahulu Liga Super musim ini dengan 54 mata dipisahkan jauh dengan Gergasi Merah (40) di kedudukan kedua. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram