SEBUAH gudang mercun dan piroteknik di Narathiwat, Thailand dikatakan meletup dalam satu insiden yang berlaku pada Sabtu.
Turut kelihatan, kawasan gudang itu rentung dijilat api dengan beberapa pihak sedang cuba menyelamatkan individu terperangkap di dalam gudang berkenaan.
Perkara itu dikongsikan secara langsung di laman Facebook salah seorang penduduk di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian di laman media, seramai lima individu dipercayai terkorban dalam kejadian tersebut dengan beberapa lagi mangsa sedang cuba diselamatkan pihak bomba dan orang ramai.
Suraya Ab Karim di Facebook berkata, dia dan keluarganya yang berada di Selatan Thailand, Kampung Mundok, Sungai Golok turut terdengar akan dentuman kuat tersebut.
"Kami jiran sebelah yang berada di sini pun boleh dengar bunyi dentuman kuat yang berlaku di kampung Mundok.
"Ramai mangsa yang tengah bergelut di sana, lima orang terkorban dan ada yang mayatnya berkecai akibat letupan itu.
"Al-Fatihah buat mangsa terkorban, beratnya ujian saudaraku di sana," ujarnya.
Terbaharu, lapor Bernama, sekurang-kurangnya 10 individu disahkan maut manakala 110 cedera dalam kejadian letupan tersebut.
Gabenor Narathiwat, Sanan Pongaksorn berkata, letupan pada pukul 3.30 petang (waktu tempatan) itu berlaku di Pasar Mundok, destinasi membeli-belah popular bagi rakyat Malaysia.
Kepulan asap tebal kelihatan dari jarak jauh akibat letupan tersebut. — Facebook
Beliau berkata, letupan itu menyebabkan kerosakan, memusnahkan kedai dan menyebabkan bekalan elektrik terputus serta gangguan lalu lintas.
"Punca letupan masih dalam siasatan dan tiada rakyat Malaysia terlibat dalam kejadian itu setakat ini.
"Kami masih menunggu butiran dan maklumat daripada pihak hospital," katanya.
Anggota bomba bergegas ke tempat kejadian untuk memadamkan kebakaran dan pasukan penyelamat berusaha mencari mangsa yang terselamat.
Mangsa dibawa ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Timbalan jurucakap kerajaan, Ratchada Thanadirek berkata, Perdana Menteri sementara Prayut Chan-o-cha menyeru agensi berkaitan untuk memberi bantuan segera kepada mangsa dan mereka yang terjejas akibat kejadian itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram