PAS Kedah mohon maaf, silap papar poster latar belakang calon PN


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

PAS Kedah memohon maaf isu kesilapan teknikal membabitkan poster calon Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan baru-baru ini.

KETUA Penerangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kedah, Mohd Azam Abd Samat memaklumkan terdapat kesilapan teknikal pada poster profil bagi empat orang calon Perikatan Nasional (PN) yang diumumkan baru-baru ini.

Difahamkan, profil keempat-empat calon PN bagi Dun Kedah itu mempunyai maklumat yang sama pada bahagian latar belakang pendidikan.

Poster berkenaan menunjukkan individu tersebut pernah melanjutkan pelajaran di universiti yang sama iaitu, Marshall University, Amerika Syarikat.

Justeru, PAS Kedah memohon maaf susulan kesilapan profil pada calon PN negeri terbabit.

"Pihak penganjur sama sekali tidak berniat untuk memberi maklumat yang tidak tepat dan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku," katanya.

Jelas Mohd Azam, kesilapan tersebut berpunca daripada kesilapan pereka grafik yang bertindak menggunakan templat rekaan poster profil yang sama.

"Terdapat empat calon yang menggunakan latar belakang pendidikan yang sama. Ia berlaku kerana kesilapan pereka menggunakan 'template' yang sama tetapi tidak menukar butiran calon yang lain.

"Bagaimanapun, kesilapan hanya berlaku pada paparan skrin tetapi tidak berlaku kesilapan ketika latar belakang calon dibacakan oleh pengacara majlis.

"Pihak penganjur sama sekali tidak berniat untuk memberi maklumat yang tidak tepat dan memohon maaf atas kesilapan yang berlaku," ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

PAS kemudiannya difahamkan telah mengemukakan profil baharu yang diperbetul. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram