PRN: Polis Kedah kesan 2 kes dron, terhempas cederakan penyokong parti


  • 112
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Penyokong parti mengalami kecederaan akibat dron yang diterbangkan di Kuala Kedah, Kota Setar, Kedah.

SEORANG penyokong parti cedera di Kuala Kedah, Kota Setar, Kedah susulan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menerbangkan dron pada hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu pada Sabtu.

Polis menahan seorang lelaki berusia 24 tahun dipercayai menerbangkan dron di kawasan larangan ketika penamaan calon PRN Kedah di Pendang.

Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh berkata, polis juga menerima satu laporan berasingan di Kuala Kedah melibatkan dron yang dipercayai digunakan untuk sektor pertanian jatuh, sehingga menyebabkan seorang wanita mengalami kecederaan di bahagian kepala.

Beliau berkata, kes itu telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk tindakan lanjut.

Sebelum ini, CAAM memaklumkan larangan menerbangkan dron bagi memastikan kelancaran pilihan raya khususnya membabitkan tiga tarikh penting iaitu hari penamaan calon pada Sabtu, pengundian awal pada 8 Ogos dan hari pengundian pada 12 Ogos serta sepanjang 14 hari tempoh berkempen. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram