Dinding kaca pejabat PAS pecah sebelum penamaan calon di KL


  • Politik
  • Sabtu, 29 Jul 2023

Dinding pejabat PAS di Jalan Raja Laut pecah sebelum proses penamaan calon bermula. — Facebook/PAS

PROSES penamaan calon pilihan raya di enam negeri berjalan rancak dengan sebilangan penyokong serta calon parti bertanding sudah mula berada di lokasi kawasan masing-masing pada pagi Sabtu.

Namun, satu kejadian tidak diundang berlaku di pejabat PAS dekat Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur apabila dinding premis itu difahamkan pecah.

Perkara itu dikongsikan di laman Facebook pada hari kejadian dengan insiden tersebut dipercayai terjadi tidak lama sebelum proses penamaan calon pilihan raya enam negeri bermula.

Bagaimanapun, katanya, tiada kemalangan jiwa dan kemalangan polis telah dibuat.

"Ada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan ada saksi.

“Mudah-mudahan kes akan dapat diselesaikan segera,” kata penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian Ibu Pejabat PAS Pusat di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur dibaling batu oleh seorang lelaki tidak dikenali, mengakibatkan dinding kacanya pecah.

Razarudin berkata, kejadian berlaku pada pukul 5.30 pagi Sabtu dan polis giat mengesan suspek terlibat dengan dibantu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

"Dalam kejadian itu, suspek yang menaiki motosikal telah membuat bising sebelum bertindak membaling batu ke dinding kaca pejabat berkenaan. Perkara itu dilihat oleh pengawal yang bertugas di bangunan tersebut.

"Polis sedang mengesan suspek terlibat, Insya-ALLAH dalam masa terdekat kita akan dapat menjejakinya,” katanya dalam sidang media khas mengenai Ops Cantas sempena PRN di Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Sabtu.

Polis, katanya sedang menyemak rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran bagi membantu usaha mengenal pasti individu berkenaan.

Menurutnya kes itu disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram