'Ikat JDT-Kedah jika Selangor mahu kekal nombor 2', fans puji impak SB dan taktikal baharu


  • Podium
  • Isnin, 17 Jul 2023

Sebahagian aksi Selangor FC ketika bertemu skuad Harimau Kumbang dalam aksi saingan Liga Super di Stadium MBPJ pada Sabtu. — Facebook/Selangor FC

PASUKAN gergasi Liga Super, Selangor FC menarik lafas lega selepas menewaskan Penang FC 3-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu.

Kemenangan itu sekali gus, mengukuhkan lagi kedudukan skuad The Red Giants yang berada di tangga kedua Liga Super pada ketika ini.

Pada masa sama, kemenangan di laman sendiri itu membolehkan skuad kendalian Tan Cheng Hoe membawa pulang tiga mata penuh dan meninggalkan jurang tiga mata mengatasi pasukan di tangga ketiga, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Sri Pahang FC (SPFC) dengan 34 mata.

Sehubungan itu, bagi mengekalkan kedudukan mereka pada tiga teratas carta, pasukan itu seharusnya mengekalkan momentum prestasi mereka selepas meraih kejayaan membenam skuad Harimau Kumbang.

Kemenangan Selangor FC itu juga rata-rata menerima pujian dalam kalangan penyokong fanatik mereka sendiri.

Ini kerana, ia boleh dikatakan pencapaian terbaik mereka selepas dikalahkan Sri Pahang FC pada 9 Julai lalu.

Seorang penyokong, Ku Zack memuji taktikal baharu yang diserapkan Cheng Hoe dalam perlawanan tersebut.

"Tahniah....pasukan Selangor FC dengan cara taktikal baru yang mana attack (serangan) tidak menggunakan sayap kiri dan kawan seperti biasa.

"Pemain perlu cepat untuk menyesuaikan diri dengan post yang diberi," tulisnya.

Safuwan menerima pujian penyokong selepas mempamerkan aksi terbaik ketika menentang Penang FC pada perlawan yang berlangsung pada Sabtu. - Facebook/Selangor FC

Ada dalam kalangan penyokong juga turut memuji benteng pertahanan The Red Giants yang ada peningkatan pada perlawanan tersebut terutamanya melibatkan pemain Safuwan Baharudin (SB).

"Alhamdulillah, kemasukan Safuwan membawa kestabilan di bahagian pertahanan. Insya-ALLAH, bawa lagi ramai pemain berkualiti," kata Raja Azlan Raja Azwan.

Untuk rekod, Safuwan yang menyertai Negeri Sembilan pada awal musim, kembali bersama dengan Selangor untuk menguatkan bahagian pertahanan Gergasi Merah yang dilihat rapuh.

Selain Safuwan, penyerang import skuad The Red Giants, Richmond Boakye-Yiadom turut menerima pujian penyokong selepas dia meledakkan satu gol ketika menentang Penang FC.

"Semakin padu pertahanan dengan kemasukan Safuwan manakala serangan semakin berbahaya dengan kehadiran Boakye," kata The Sifu Bola.

Boakye mencetak gol kedua buat skuad Selangor FC. — Facebook/Selangor FC

Sementara itu, seorang penyokong, Long Nizuan berharap agar pasukan kesayangannya itu terus mengekalkan momentum mereka untuk terus berada dalam kedudukan sekarang.

"Untuk kekal di tangga kedua carta, Selangor FC wajib menang ketika menentang Sabah FC nanti.

"Selain itu, mereka perlu seri dengan Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah. Lain-lain keputusan mesti menang secara keseluruhannya," katanya.

Namun, mampukah Selangor FC mengekalkan prestasi mereka ketika berhadapan dengan musuh tradisi di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Johor pada 29 Julai nanti?

Apatah lagi, JDT sememangnya dikenali sebagai sebuah pasukan yang mempunyai jentera serangan yang padu dan agak sukar dikalahkan. Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram