Nurillo belum keluar 'sengat', gagal tembus 'roadblock' The Cops


  • Podium
  • Ahad, 16 Jul 2023

Sekitar aksi menarik antara barisan pemain PDRM FC menentang Sang Penyu. — Facebook/MFL

PASUKAN PDRM FC gagal menggunakan peluang beraksi di laman sendiri apabila hanya terikat 0-0 ketika menentang Terengganu FC (TFC) pada aksi pusingan kedua Liga Super 2023 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.

Kedua pasukan itu terpaksa akur apabila hanya berkongsi satu mata walaupun dilihat berhempas-pulas untuk mencari jaringan.

Pada awal babak pertama, pasukan tuan rumah dan pengunjung menampilkan aksi yang cukup menarik kerana masing-masing dilihat memberikan tekanan kepada pihak lawan menerusi percubaan berbahaya.

WhatsApp Image 2023-07-16 at 23.35.40

Sekitar aksi antara pemain The Cops dan Sang Penyu. — Facebook/MFL

Dalam perlawanan tersebut, penyokong bola sepak tanah air pastinya menyaksikan serangan demi serangan yang dilancarkan oleh barisan pemain Sang Penyu untuk menewaskan penjaga gol The Cops, Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Pada masa sama, tepisan berkualiti penjaga gol Sang Penyu, Mohd Suhaimi Husin berjaya menyukarkan percubaan pemain The Cops, Kyaw Min-Oo untuk meletakkan pasukan tuan rumah sebagai pendahulu perlawanan.

Berbaki 10 minit sebelum tamat babak pertama, percubaan serangan bertubi-tubi dapat dilihat daripada Sang Penyu namun sukar pertahanan The Cops tidak membiarkan anak-anak buah Tomislav Steinbruckner membolosi gawang mereka dengan mudah.

Pada babak kedua perlawanan, kedua-dua pasukan dilihat melakukan percubaan namun sukar untuk memasuki ruangan penalti untuk mencetak gol.

Bagaimanapun, dua pasukan itu buntu mencari kemenangan selepas gagal merekodkan jaringan selama 90 minit perlawanan berlangsung.

Oleh itu, terdapat beberapa pandangan daripada penyokong mengenai penampilan pasukan tersebut.

"Nurillo masih belum dapat capai keserasian bersama pasukan, mungkin perlu masa lagi untuk dia berkembang," kata Ahmad Shafik.

"Actually nampak saja bunga-bunga Nurillo itu, first game dah nampak cara mainan, bola corner dan freekick boleh jadi masalah untuk team lawan," kata Saifuddin.

"Pertahanan PDRM memang sukar ditembusi oleh mana-mana pihak lawan, terbaiklah defend," kata Bakriuddin.

Skuad Sang Penyu menghuni tangga keenam liga dengan kutipan 25 mata selepas 17 perlawanan berlangsung dan akan menerima kunjungan daripada Negeri Sembilan FC. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram